Selepas pengumuman Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN (MPP), Timbalan Presiden Azmin Ali mengeluarkan kenyataan bahawa pelantikan itu tidak dibuat untuk kepentingan parti dan akan menghalang KEADILAN daripada terus bergerak ke hadapan.

Pada awal bulan November, semasa Kongres Nasional KEADILAN – Presiden parti, Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa beliau akan memasukkan bakat terbaik dari seluruh parti termasuk Rafizi Ramli yang kalah tipis kepada Azmin dalam pertandingan jawatan untuk Timbalan Presiden.

Pada masa itu, Azmin mengesahkan bahawa beliau sanggup memberi sokongan penuh kepada Anwar serta Rafizi untuk mengukuhkan parti. Azmin menambah – beliau percaya bahawa Rafizi mempunyai peranan yang besar untuk memastikan kepimpinan parti terus inklusif.

Pelantikan yang diumumkan oleh Anwar dilakukan di hadapan MPP dan ia mengambil kira semua pandangan MPP. Tidak dapat dinafikan, Azmin dan ramai dari kem beliau telah memenangi jawatan dalam pemilihan parti baru-baru ini. Walau bagaimanapun, Rafizi bukan sahaja kalah dengan tipis tetapi beliau juga menang di banyak cabang. Pemimpin yang baik akan memastikan dua kem ini akan bekerja bersama-sama di dalam parti.

Di antara mereka yang baru dilantik, ada yang secara terbuka menyokong Azmin atau Rafizi dan ada yang tidak menjadi sebahagian dari mana-mana kem. Dari kem Azmin – Naib Presiden yang baharu dilantik merangkap Ahli Parlimen Saratok Ali Biju dan Pengarah Strategik Dr Mansor Othman.

Dr Edmund Santhara Kumar, yang memenangi jawatan MPP di bawah kem Azmin, dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha.

Dua individu yang lain dari kem Azmin – Shamsul Iskandar, yang kalah dalam pemilihan calon Naib Presiden dengan undi tertinggi dilantik sebagai Ketua Penerangan manakala Lee Khai Loon, calon MPP yang kalah dengan undi tertinggi telah dilantik ke MPP.

Untuk mewakili komuniti Kadazandusun Murut (KDM), Raymond Ahuar diberi jawatan, memandangkan untuk masyarakat Bumiputera Muslim ia diwakili oleh Rahimah Majid (MPP) manakala Dr Christina Liew, seorang yang berbangsa Tionghua, merupakan Pengerusi untuk KEADILAN Sabah.

Pada masa yang sama, Faizal Sanusi, bekas Pemimpin PRM sebelum penggabungan dengan KEADILAN, dan kemudiannya menjadi Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan yang tidak dikaitkan dengan mana-mana kem, turut dilantik.

Biro Politik parti juga mengingatkan sayap wanita yang mengumumkan pelantikan Ketua Wanita Negeri sebelum pelantikan Pengerusi Negeri. Peraturan Tetap jelas menyatakan bahawa pelantikan itu hanya boleh dilakukan oleh Ketua selepas berunding dengan Pengerusi Negeri dan Ketua Wanita Cabang.

Pokoknya, rakyat mahu KEADILAN dan Pakatan Harapan memfokuskan diri untuk meneruskan pembaharuan dan melaksanakan manifesto. Masanya sudah tiba untuk kita mengangkat agenda itu – terutamanya untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan ekonomi yang lebih adil sebagai prioriti utama kita.

KEADILAN pastinya akan berbangga dengan kepimpinannya yang pelbagai dan berkebolehan dari seluruh negara, tidak kira lelaki, wanita, tua dan muda – seperti yang ditunjukkan dalam lantikan ini KEADILAN terbuka kepada pelbagai pandangan dalam parti sebagai sebahagian daripada demokrasi tetapi kami percaya untuk memanfaatkan kepelbagaian untuk kebaikan negara.

Mari kita semua fokus berada di belakang barisan kepimpinan baru dan berkhidmat kepada rakyat.

NIK NAZMI NIK AHMAD menang sebagai anggota MPP dan dilantik sebagai Setiausaha Pengelola KEADILAN. Beliau juga merupakan Ahli Parlimen Setiawangsa. Buku terbarunya, ‘9 Mei 2018: Nota dari Garis Depan’ akan terbit Januari 2019.

Share This