Kebelakangan ini, terdapat beberapa pihak majikan yang tidak berpuas hati dengan gaji minima baru yang ditetapkan pada kadar RM 1,200 sebulan bagi 57 wilayah bandar-bandar seluruh negara, berkuatkuasa pada Januari 2020.

Ini merupakan satu langkah dalam menunaikan janji dalam manifesto Pakatan Harapan untuk meningkatkan gaji minima kepada RM 1,500 dalam tempoh lima tahun. Dakwaan bahawa tindakan ini akan memanfaatkan warga asing saja adalah tidak benar. Terdapat ramai warga Malaysia yang bekerja pada tahap gaji minima.

Malah, mengekalkan gaji pada kadar hari ini tidak menarik rakyat tempatan, dan menyumbang kepada pengaliran wang keluar negara oleh pekerja asing.

Berbanding dengan negara-negara lain, nisbah keuntungan perniagaan kepada KDNK di Malaysia masih tinggi.

Bagi setiap ringgit yang dijanakan pada tahun 2016, 35.3 sen diberi kepada pekerja dalam bentuk gaji, 59.5 sen menjadi keuntungan syarikat, dan 5 sen merupakan cukai yang diberi kepada kerajaan.

Zaman pertumbuhan ekonomi didorong oleh gaji rendah sudah berlalu. Jika Malaysia ingin menjadi negara berpendapatan tinggi, pertumbuhan ekonomi tidak boleh berasas keuntungan syarikat sahaja.

Dalam beberapa tahun ini, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijana perbelanjaan pengguna tetapi sebahagian besarnya dibiayai hutang. Jumlah hutang isirumah Malaysia telah mencapai RM1.18 trilion pada 82.2% KDNK.

Menaikkan gaji minima akan meningkatkan produktiviti pekerja, dan mempunyai nilai pekali (multiplier effect) yang lebih besar bagi KDNK negara. Pekerja yang menerima gaji minima biasanya membelanjakan kesemua gaji mereka yang akan memberi kesan besar kepada ekonomi negara.

NIK NAZMI NIK AHMAD
Ketua Setiausaha Pengelola KEADILAN
Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN
Ahli Parlimen Setiawangsa

Share This