Saya ingin menyentuh beberapa perkara berkaitan isu pendidikan memandangkan hampir semua negeri di Malaysia diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau PKP Bersyarat (PKPB) kecuali Sarawak dan Perlis, yang berada di bawah PKP Pemulihan (PKPP) dan terbaharu darurat di seluruh negara.
Bagi negeri-negeri yang sedang berada dalam PKP, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan mengarahkan semua pelajar yang bakal menduduki peperiksaan besar dan para guru untuk kembali ke sekolah.
Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kita sekarang mempunyai 2 kumpulan pelajar peperiksaan yang perlu dijaga; kelas SPM tahun 2020 (mereka belum mengambil SPM) dan pelajar tahun 2021.
Bebanan kerja guru akan bertambah dengan keadaan yang sedang kita hadapi pada hari ini. Mereka harus mengurus dan mengajar kelas peperiksaan dengan SOP yang ketat.
Selain daripada tugasan ini, mereka tetap perlu mengajar pelajar dalam talian bagi pelajar yang sedang berada di rumah.
Saya apa-apa langkah yang dilakukan oleh kerajaan atau Kementerian Pendidikan untuk melakukan persiapan, memberikan sumber, dan sokongan untuk guru dalam situasi ini — bagi menyeimbangkan kedua-dua keperluan, terutama bagi mereka yang mungkin tidak biasa dengan mata pelajaran yang guru perlu ajar di peringkat peperiksaan.
Pada masa yang sama, terdapat laporan pelajar sekolah menengah bukan peperiksaan kehilangan minat dan fokus pada pelajaran dalam talian.
Apa yang Kementerian Pendidikan lakukan untuk membantu pelajar dan guru untuk masalah ini? Kita perlu melakukan sesuatu untuk mengurangkan risiko keciciran yang tinggi ketika sekolah dibuka semula.
Apa sistem sokongan yang disediakan untuk guru, pelajar dan ibu bapa untuk menghadapi PKP 2.0 dan darurat? Di manakah talian bantuan, pangkalan data untuk pelajaran dan penilaian? Di manakah platform untuk berkomunikasi dengan ibu bapa?
Ini seharusnya dilakukan dalam beberapa minggu pertama pandemik pada tahun 2020.
Adakah kerajaan memanfaatkan sepenuhnya pusat tuisyen, tuisyen atas talian, tutor individu, dan NGO untuk memberi ruang pembelajaran maya bagi kanak-kanak B40 yang mungkin tidak dapat belajar di rumah secara maya?
Hanya Kementerian Pendidikan yang dapat menjawab soalan-soalan ini.
NIK NAZMI NIK AHMAD
JURUCAKAP PARLIMEN KEADILAN BAGI PENDIDIKAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA
Share This