Reaksi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kepada komen Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai pekerjaan dengan upah rendah, sekali lagi, membuktikan perlu wacana nasional yang mendesak dan meluas mengenai isu ini.

Ia adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia yang mampu bekerja untuk bekerja. Bekerja dalam apa jua pekerjaan – berkaitrapat dengan martabat manusia dan nilai diri.

Tetapi ia juga hak pekerja untuk dibayar dengan setimpal; supaya mereka boleh membina kehidupan dan keluarga mereka, dalam keadaan yang sihat, selamat dan terhormat. Adalah menjadi tanggungjawab pemimpin kerajaan, korporat dan masyarakat madani untuk memastikan hal ini berlaku.

Badan-badan yang mempunyai reputasi tinggi, termasuk Bank Negara Malaysia dan Institut Penyelidikan Khazanah, semuanya menunjukkan kadar upah di negara kita terlalu rendah.

Pendekatan dan kesepakatan yang melibatkan semua pihak yang berkepentingan harus dicari untuk mencapai keadilan ekonomi dan pembaharuan.

Seperti yang saya katakan dalam mesej Hari Pekerja saya, Malaysia mesti memperbaiki kadar gaji para pekerja dan memberi jaminan pekerjaan yang lebih baik. Saya sangat merasakan bahawa model pertumbuhan lama – gaji rendah dan kos rendah semata-mata tidak lagi relevan dengan realiti ekonomi negara dan global semasa.

Saya juga berhujah bahawa pekerjaan yang dipanggil 3D (yang menjadi sumber kontroversi antara PM dan MTUC) akan menjadi lebih menarik kepada pekerja Malaysia sekiranya isu gaji boleh ditangani. Ini juga akan mengurangkan kebergantungan kita terhadap tenaga kerja asing serta meningkatkan galakan ke arah automasi.

Dalam hal ini, kenyataan PM baru-baru ini bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk menyediakan subsidi elaun dan upah kepada lulusan baru tempatan melalui majikan untuk menggalakkan penggajian boleh dipertimbangkan.

Saya percaya cadangan yang pernah saya utarakan sebelum ini di Parlimen dan di media termasuk pengecualian cukai bagi syarikat-syarikat yang menawarkan gaji yang lebih tinggi untuk pekerja di tingkat bawah; serta sokongan daripada sektor awam dan swasta untuk pelbagai inisiatif yang akan meningkatkan kemahiran juga wajar dipertimbangkan.

Semua pihak termasuk sektor swasta harus menyokong upah yang lebih tinggi. Secara logiknya gaji yang lebih tinggi akan membawa kepada perbelanjaan yang meningkat, yang akan memberi manfaat kepada sektor swasta dan awam. Ia juga akan meningkatkan kesetiaan pekerja tempatan yang membolehkan majikan menikmati pelaburan dari segi latihan ke atas mereka untuk jangka masa panjang.

Pada masa yang sama, tekad gaji minima RM1500 menjelang 2023 mesti dicapai; malah gaji kehidupan wajar (living wage) yang lebih tinggi yang dikaitkan dengan kos hidup berdasarkan kedudukan geografi juga perlu diperkenalkan seperti yang disyorkan oleh Bank Negara. Saya juga pernah mencadangkan agar dasar perbekalan kerajaan memberi pengiktirafan kepada syarikat-syarikat yang membayar pekerja mereka gaji kehidupan wajar.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Share This