Saya mengambil maklum Kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia tentang penutupan sekolah di zon merah di seluruh negara.

Persoalan pokok adalah, setelah berbulan-bulan negara dilanda Covid dan PKP, apakah rancangan sekiranya sekolah ditutup semula sama ada di daerah-daerah zon merah tertentu, ataupun jika kita kembali kepada penutupan semua sekolah seperti awal PKP dahulu? Apakah ‘contingency plan’ atau rancangan luar jangka pihak Kerajaan?

Kita faham, kebanyakan negara tidak bersedia ketika wabak Covid melanda kali pertama dan sekolah-sekolah ditutup. Namun alasan tidak bersedia tidak lagi boleh digunakan apabila kita berhadapan penutupan sekolah sekali lagi.

Saya dimaklumkan persediaan sudah dibuat di kalangan pegawai-pegawai KPM. Tetapi adakah ia sudah diluluskan Kerajaan dan sekiranya sudah, ia perlu dimaklumkan kepada pemegang taruh termasuk ibu bapa dan pelajar.

Antara persoalan segera yang perlu dijawab kepada ibu bapa, guru dan pelajar adalah bagaimanakah proses penilaian atas talian untuk peperiksaan percubaan SPM bagi sekolah-sekolah yang ditutup?

Kita tidak mahu insiden yang berlaku ketika pengumuman saat-saat akhir penangguhan pendaftaran siswa universiti awam berulang untuk pelajar-pelajar sekolah.

Kita melihat keresahan di kalangan ibu bapa, termasuk di luar zon merah untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Pemakluman rancangan luar jangka sangat penting untuk meredakan kerisauan semua pihak.

NIK NAZMI NIK AHMAD
JURUCAKAP PARLIMEN KEADILAN BAGI PENDIDIKAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Share This