Pengumuman Perdana Menteri Najib Razak berkenaan Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0 baru-baru ini menimbulkan beberapa persoalan.

Ini kerana kegagalan KR1M telah memberi kesan yang mendalam kepada ribuan rakyat terutamanya pekerja KR1M.

Janji Kerajaan bahawa KR1M akan menawarkan harga yang murah juga tidak benar pada masa itu kerana ada juga harga barangan yang lebih mahal berbanding di kedai lain.

Malah Kerajaan langsung tidak bertanggungjawab di atas kegagalan KR1M dan hanya menyalahkan pihak lain.

Jadi apakah jaminan yang boleh diberikan oleh Kerajaan bahawa KR1M 2.0 juga tidak akan gagal?

Model perniagaan KR1M 2.0 juga tidak jelas. Menurut apa yang dilaporkan media, model barunya berkonsepkan kepada tiga kategori model perniagaan iaitu kerjasama strategik antara kerajaan dengan pengilang, pengeluar dan pengedar; operasi perniagaan kendalian pemilik serta penjenamaan bersama.

Menurut kenyataan Najib, kedai-kedai akan menyertai program itu kerana bakal memperoleh keuntungan akibat ramai orang yang akan membeli di kedai mereka.

Tetapi bagaimana barangan berjenama ini dapat dijual pada harga murah berbanding kedai lain? Adakah wujud subsidi kerajaan? Jika ya, kerajaan wajar berterus-terang kerana sebelum ini kerajaan menjalankan proses pemotongan subsidi dengan alasan golongan termiskin dibantu menerusi BR1M.

Atau mungkin sebagaimana pernah didakwa Ahmad Maslan suatu ketika dahulu, penurunan harga ini hasil cukai GST diperkenalkan?

Atau adakah kedai-kedai ini menjualnya dibawah kos? Bagaimana dengan kelestarian perniagaan mereka apabila model perniagaan ini digunapakai?

Selagi Kerajaan tidak ambil tanggungjawab terhadap kegagalan yang lampau, menerangkan punca sebenar kegagalan itu, apa yang diumumkan hanya menimbulkan lebih banyak tanda tanya.

KR1M dilancarkan menjelang PRU13 dan gagal. Kini, dengan PRU14 bakal tiba tidak lama lagi, KR1M 2.0 pula dilancarkan. Jelasnya, ia hanya gimik pilihan raya.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN

Share This