Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands telah berakhir. Keputusan PRK tersebut bukanlah apa yang diharapkan oleh Pakatan Harapan dan penyokong kita.

Walau bagaimanapun, ia adalah keputusan rakyat dan kita mesti menghormati pilihan mereka.

Saya berterima kasih kepada calon dan pasukan Pakatan Harapan di Cameron Highlands. Saya berharap mereka, dan seluruh Pakatan Harapan, tidak tunduk kepada tekanan dan mendapat kekuatan baru.

Penggunaan retorik perkauman oleh pihak tertentu semasa kempen amat mendukacitakan. Pihak berkuasa yang berkaitan perlu menyiasat dan mengambil tindakan tegas jika dakwaan tersebut terbukti benar.

Pengundi Malaysia mesti bertanya pada diri sendiri – adakah negara atau mana-mana komuniti mendapat pembelaan sewajarnya dengan tindakan keji dan tidak bermoral sedemikian.

Walau bagaimanapun, akhirnya, tanggungjawab utama untuk kekalahan kali ini terletak pada Pakatan Harapan.

Kelemahan terbesar adalah ketidakupayaan kita untuk mengungkapkan wawasan untuk masa hadapan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia di Cameron Highlands dan seluruh negara.

Kita masih belum menunjukkan kepada rakyat Malaysia mengapa mereka harus mengundi kita untuk ekonomi yang lebih saksama dan inklusif buat semua.

Kelompok B40 dan M40 di Malaysia tidak boleh hidup berdasarkan kata-kata manis semata-mata – mereka memerlukan faedah yang boleh diukur.

Kita harus menjadikan Buku Harapan sebagai panduan kita. Meskipun kita tidak boleh melaksanakan sepenuhnya dasar-dasar dalam manifesto, ia seharusnya menggambarkan falsafah yang memberi tumpuan kepada rakyat secara keseluruhan dan bukan kelompok yang kecil.

Pada hari-hari, minggu, bulan dan tahun yang mendatang – Pakatan Harapan memerlukan naratif jelas untuk meyakinkan rakyat bahawa kita masih layak untuk kekal berkhidmat sebagai kerajaan.

Ia adalah mesej yang mesti didokong oleh semua. Pakatan Harapan akan gagal jika kita tidak bercakap dengan satu suara.

Kita perlu mula menunjukkan prestasi kepada rakyat, terutamanya dari segi ekonomi.

Ini semua lebih penting kerana jelas bahawa UMNO dan PAS kini telah “berkahwin”. “Percintaan” mereka kini telah dimanifestasikan ke dalam pakatan penuh.

Mereka kini pada asasnya satu dan sama. Keputusan di Cameron Highlands harus mendorong Pakatan Harapan untuk bekerja lebih keras, terutamanya dengan Pilihan Raya Kecil Semenyih semakin hampir.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Share This