KEADILAN telah menjalankan pemilihan parti 2018—yang merupakan pemilihan parti secara langsung terbesar dalam sejarah negara.

Terdapat minat yang besar dan penelitian secara terperinci dalam pemilihan ini, bukan sahaja daripada ahli kita, tetapi juga oleh pihak media dan rakyat umum.

Pemilihan ini belum dan tidak akan berakhir sehingga setiap anggota yang layak mendapat peluang untuk mengundi tanpa sebarang rintangan dan setelah setiap undi dikira.

Oleh itu, setiap calon harus menghormati proses pengundian dan tunggu akan keputusan pihak JPP mengenai pelbagai isu.

Ini merupakan suatu perkara yang ditekankan oleh bakal Presiden kita, Anwar Ibrahim.

Sesungguhnya, dengan pertikaian isu Tawau, Julau dan pengiraan undi ragu, ia masih terlalu awal untuk mana-mana pihak membuat sebarang andaian atau keputusan mengenai keputusan pemilihan ini.

Saya tekankan—semua pihak haruslah tunggu akan keputusan pihak JPP.

Selain masalah tersebut, saya masih percaya bahawa sistem e-voting adalah yang terbaik untuk parti kita dan mengikut arus zaman.

KEADILAN patut dipuji atas keberaniannya untuk terus mara ke depan dalam pemilihan ini dan tidak mengambil jalan mudah.

Apa yang diperlukan ialah pembaharuan secara holistik untuk memastikan isu yang timbul pada pemilihan ini tidak akan berulang lagi.

Selain itu, tindakan tegas haruslah diambil terhadap sesiapa yang dibukti telah berlaku cuai atau melakukan penipuan dalam proses pemilihan.

KEADILAN sentiasa merupakan tumpuan perhatian rakyat Malaysia.

Kita boleh dan seharusnya meraikan ulang tahun ke-20 pergerakan Reformasi serta pemulangan Anwar sebagai Presiden parti kita.

Tetapi pemimpin dan akar umbi parti juga harus bekerja dengan cepat untuk memastikan proses pemilihan ini dan yang akan datang berjalan secara adil, berkesan dan telus.

Kita juga haruslah bekerjasama untuk memenuhi mandat yang diberikan kepada kerajaan Pakatan Harapan dan menunaikan janji-janji yang telah kita berikan kepada rakyat Malaysia dalam manifesto.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Share This