Soalan: Nik Nazmi Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta menyatakan berkenaan isu penempatan mahasiswa untuk praktikal atau latihan industri (LI). Banyak syarikat atau agensi yang ditutup atau tidak dapat menjalankan LI kerana PKP. Justeru apakah respon/ tindakan pihak Kerajaan khususnya KPT dalam usaha terkait jaminan penempatan LI kepada mahasiswa.
Jawapan:
Yang di-Pertua,
Tahun 2020 dan 2021 merupakan tahun yang mencabar dalam semua sektor termasuklah sektor pengajian tinggi. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengakibatkan hampir semua aktiviti sosial dan fizikal tergendala serta turut memberikan impak besar ke atas kursus Latihan Industri (LI) bagi pelajar-pelajar di Institut Pendidikan Tinggi (IPT). PKP yang berpanjangan juga telah membataskan keupayaan pelajar untuk menjalani LI secara fizikal di lokasi mereka ditempatkan.
Sehubungan dengan itu, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) melalui Advisory Note MQA 2/2021 telah memberi fleksibiliti kepada IPT supaya pelajar menyempurnakan LI bergantung kepada keperluan program masing-masing. Antara kaedah alternatif tersebut adalah:
i. Kajian kes yang berasaskan kepada permasalahan atau isu di industri;
ii. Projek penyelidikan dengan kerjasama industri;
iii. Projek komuniti berasaskan bidang program pengajian dengan kerjasama industri;
iv. Kertas kajian/projek/geran dalaman berasaskan penyelesaian masalah industri;
v. Kerja pembaikkan dan penyelenggaran dalaman (in-house) yang bersesuaian; dan
vi. Latihan Industri secara maya (virtual industrial training).
Pihak IPT juga telah bersinergi dengan pelbagai rakan kolaborasi industri bagi memastikan penempatan LI berjalan lancar. Sekiranya pelajar tidak dapat meneruskan LI yang asal akibat penutupan industri tertentu, maka pelajar boleh menukar industri serta menyambung latihan untuk tempoh yang berbaki sahaja.
Jika pelajar masih tidak dapat penempatan di industri setelah pelbagai usaha dilaksanakan, pelajar diberi pilihan untuk menjalani LI di dalam kampus mengikut SOP yang telah ditetapkan. Usaha yang sama juga telah dilaksanakan di peringkat pelajar politeknik dan kolej komuniti di mana seramai 26,193 pelajar semester akhir sesi Disember 2020 telah menjalani LI tanpa perlu melanjutkan tempoh pengajian mereka.
Share This