Baru-baru ini barisan pemimpin Pakatan Harapan, WARISAN dan Pengerusi BERSATU telah mengeluarkan kenyataan bersama yang meminta Parlimen bersidang sekurang-kurangnya dua minggu, dan bukan hanya satu hari pada 18 Mei 2020.

Mengapa Pembangkang konsisten memperjuangkan hal ini terutamanya ketika Covid-19 masih menghantui kita? Bukankah rakyat sudah bosan dengan “politik”?

Ekonomi telah dibuka semula, dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijenamakan semula sebagai “PKP Bersyarat (PKPB)”.

Ada kontroversi berkenaan pelaksanaan PKPB, tetapi nampaknya ekonomi kita sedang dalam proses pembukaan semula.

Sekiranya perniagaan dapat beroperasi semula sepenuhnya – dengan mematuhi SOP yang ketat – mengapa tidak Parlimen? Parlimen pada mulanya dijadualkan bersidang mulai 9 Mac — 16 April 2020, kemudian setelah kejatuhan Kerajaan PH, ditangguhkan ke 18 Mei — 23 Jun.

Apa yang lebih menyedihkan, kini sidang Parlimen hanya ingin dilakukan sehari, iaitu upacara pembukaan pada 18 Mei 2020. Ahli Parlimen juga tidak berpeluang untuk menghantar pertanyaan kepada Menteri.

Semasa krisis ini, kita telah melihat penjawat awam yang mampu dan berwibawa untuk memastikan negara terus berjalan. Bagaimanapun, dalam sistem demokrasi berparlimen, Perdana Menteri dan kabinetnya bertanggungjawab kepada Parlimen.

Ini bermaksud perbahasan dan undang-undang yang mungkin diperlukan untuk mengatasi kegawatan ekonomi kesan Covid hanya akan berlaku pada sesi Julai.

Malaysia tidak boleh menunggu begitu lama.

Ini bermakna PM Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaannya tidak akan disemak imbang berkenaan tindakan apa pun yang diputuskannya sejak pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional selama empat bulan.

Mereka pada dasarnya akan dapat menggunakan sumber pemerintah dan membelanjakan wang rakyat secara bebas. Muhyiddin mendakwa bahawa rakyat muak dengan “berpolitik”.

Itu mungkin benar. Tetapi tindakannya melantik Ahli Parlimen PN yang tak terhitung jumlahnya di dalam GLC dan badan awam lain, sering mengorbankan teknokrat – bukankah ini kelihatan janggal dengan dakwaan “rakyat muak dengan politik” yang sering beliau jaja ke sana dan ke sini?

Ini bukan alasan untuk menolak alasan institusi demokrasi kita. Pada dasarnya, pemerintah PN tidak memiliki mandat rakyat, atau tidak ada sebarang rencana atau manifesto jangka panjangnya setakat ini.

Malah, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini telah memberi amaran bahawa ekonomi Malaysia boleh menyusut ke tahap yang belum pernah kita alami dalam sejarah kerana pemanjangan PKP

Walaupun dengan keadaan yang semakin mendesak, pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN masih belum diluluskan oleh Parlimen – dan ia mesti segera dilakukan.

Ada keperluan mendesak bagi anggota Parlimen untuk mengkaji dan membincangkan pakej ekonomi, serta kemungkinan langkah-langkah lain yang harus dilakukan oleh pemerintah bagi menyelamatkan pekerjaan rakyat Malaysia.

Mengapa Kerajaan PN bersikap seperti ini?

Pekerjaan, perniagaan malah nyawa sedang menjadi pertaruhan.

Sebagai Ahli Parlimen, kami bersedia untuk menerima apa sahaja SOP yang dikenakan bagi membolehkan Parlimen berfungsi. Untuk menghadiri pembukaan Parlimen, semua Ahli Parlimen sudahpun diwajibkan menjalani pemeriksaan Covid-19 terlebih dahulu.

Negara lain telah menggunakan demokrasi untuk badan perundangan mereka berfungsi bagi menghadapi pandemik Covid-19. Korea Selatan bahkan mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh ini.

Oleh itu, apa lagi alasan yang mahu diberikan oleh pentadbiran PN?

Dari segi sejarah, para pemimpin yang telah menangguhkan siding Parlimen untuk menghindari proses semak imbang telah dikecam hebat.

Ini berlaku kepada bekas Perdana Menteri Kanada, Stephen Harper pada tahun 2008 dan Boris Johnson dari UK pada tahun 2019. Tindakan Boris diputuskan tidak sah oleh Mahkamah Agung UK.

Munyhiddin harus mempertimbangkan perkara ini. Niat kami hanya untuk melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat untuk membantu menyelamatkan Malaysia, rakyat dan ekonominya.

Kerajaan harus memanggil Parlimen untuk bersidang secepat mungkin dan membiarkannya bersidang sekurang-kurangnya 2 minggu.

Share This