Saya hendak menggariskan sekali lagi sokongan saya terhadap gerakan Selamatkan Kuala Lumpur (SKL) yang baru menyerahkan memorandum kepada wakil Perdana Menteri Najib Razak menggesa pewartaan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020.

Saya berkongsi pendapat SKL bahawa Pelan tersebut yang dideraf pada tahun 2012 dengan kos RM30 juta tetapi gagal diwartakan dan telah diketepikan oleh Menteri Wilayah Persekutan pada tahun lepas, boleh memastikan pembangunan bandar yang mampan, termasuklah memelihara kawasan hijau dan awam.

Ketiadaan pelan tersebut telah membolehkan pembangunan yang tidak terkawal dikerjakan, termasuklah kontroversi Taman Rimba Kiara di Taman Tun Dr ismail dan Taman Tiara Titiwangsa.

Kerajaan Persekutuan, Menteri Wilayah Persekutuan dan DBKL sepatutnya mendengar suara pengundi Kuala Lumpur dan mewartakan Pelan tersebut.

Untuk Pilihanraya Umum yang akan datang ini, pengundi di Kuala Lumpur haruslah mengundi calon yang akan menyokong pewartaan Pelan tersebut.

Wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan telah pun bertemu dengan kempen SKL untuk menyatakan sokongan mereka. Bagaimana dengan dua wakil rakyat UMNO-Barisan Nasional di Tititwangsa dan Setiawangsa?

Rakyat bandaraya ini berhak mendapat yang lebih baik.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN

Share This