Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Mengapa Pimpinan UMNO Ingin Berkuasa Secara ‘Pintu Belakang’ Selepas Dua Kemenangan PRK Yang Bergaya?

Kini tersebar berita bahawa UMNO mempunyai niat untuk bergabung dengan Dr Mahathir Mohamad bagi membentuk kerajaan baharu.

Saya yakin sebelum keluar berita ini, anggota dan penyokong UMNO sedang berada dalam keadaan gembira apabila mereka berjaya mengalahkan Pakatan Harapan di Pilihan Raya Tanjung Piai, dan terbaru di Kimanis.

Malangnya, ada usaha dari UMNO yang ingin mewujudkan kerajaan ‘pintu belakang’ walaupun selepas dua kemenangan pilihan raya kecil yang bergaya.

Kerajaan pintu belakang ini jelas mengkhianati undi rakyat dan tidak sihat untuk demokrasi. Jika UMNO mempunyai hasrat untuk menjadi kerajaan semula, mereka sepatutnya memperbaiki parti dan menggunakan pilihan raya.

Jika benar ada pimpinan UMNO yang yakin dengan perjuangan Dr Mahathir, sepatutnya mereka meninggalkan UMNO sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, ketika Dr Mahathir dihina dan diserang bertalu-talu, bukan ketika Pakatan Harapan sudah menjadi kerajaan.

Di Malaysia, kita telah mencipta sejarah dengan proses pertukaran kerajaan secara aman dan teratur pada PRU14. Ini membuktikan kita memiliki demokrasi yang matang. Mewujudkan kerajaan ‘pintu belakang’ hanya akan mencemarkan amalan demokrasi kita, dan mengundang ketidakstabilan.

Veteran UMNO dan PAS tentu ingat ketika PAS bersama UMNO pada tahun 1970-an. Walaupun retoriknya adalah perpaduan Melayu-Islam, namun realitinya masyarakat Melayu mencari suara alternatif sebagai elemen semak dan imbang kepada kerajaan, maka golongan mahasiswa, ABIM dan Parti Rakyat Malaysia mendapat nafas baru dan PAS tersingkir dari Barisan Nasional. Hubungan anggota UMNO-PAS menjadi kritikal pada era 1980an.

Ini belum mengambilkira isu pembahagian kerusi dan strategi pilihan raya.

Buat masa ini UMNO parti pembangkang terbesar di Parlimen, dan pada masa-masa tertentu mereka membangkitkan persoalan yang baik kepada kerajaan. Tidak seperti kami sebelum ini, UMNO mendapat kerusi pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara di Parlimen, malah Ahli Parlimen Pembangkang mendapat peruntukan daripada kerajaan sementara mereka ada ruang akses kepada ruang media.

Ini jauh dari pengalaman kami di pembangkang dahulu, ketika bukan sahaja keupayaan kami menyemak Kerajaan Barisan Nasional disekat, malah ada wakil rakyat dianiayai dan dipenjarakan. Jauh berbeza hari ini di mana walaupun Ahli Parlimen UMNO berhadapan kes mahkamah, mereka dilayan dengan baik dengan prinsip andaian tidak bersalah.

Mereka masih efektif sebagai pembangkang, seharusnya mereka terus memainkan peranan ini. UMNO juga merupakan ‘the Grand Old Party’ Malaysia yang telah melalui presiden-presiden parti meninggalkan mereka sebelum ini.

Pemberian amanah daripada rakyat kepada ahli politik semasa pilihan raya haruslah dihormati. Penggunaan ‘pintu belakang’ umpama memijak amanah yang diberikan oleh rakyat.

Saya harap UMNO terus konsisten menjadi pembangkang yang baik, berperanan untuk menyemak imbang keputusan-keputusan yang dilakukan oleh kerajaan dan pada PRU15, bertarung di gelanggang pilihan raya dengan bermaruah dari segi ideologi, dasar dan polisi – bukan pertimbangan mengekalkan kuasa dengan apa jua cara sekalipun.

Jika tidak, anggota parti di bawah dan rakyat akan melihat politik negara sebagai permainan kerusi muzik oleh elit politik ketika sentimen mereka dibakar bahawa sememangnya ada perbezaan antara setiap parti.

Jangan pelik jika PRU15 yang juga buat pertama kali menyaksikan Undi 18 dan pendaftaran automatik pengundi akan menyaksikan peratusan keluar mengundi yang rendah apabila rakyat berasa muak dengan politik ‘pintu belakang’.

NIK NAZMI NIK AHMAD
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA