Saya membaca laporan akhbar hutang Kedai Buku 1 Malaysia (KB1M) yang belum dilunaskan.

KB1M diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri, Najib Razak. Pada asalnya tujuan KB1M adalah untuk menawarkan buku dengan harga yang lebih murah kepada rakyat.

Pengurusan yang tidak cekap telah menyebabkan projek ini tidak berjaya dan telah ditutup. Walaupun KB1M telah ditutup, masih banyak hutang kepada syarikat penerbitan buku yang belum dilunaskan.

Kebanyakan penerbit buku telah berkali-kali menghantar tuntutan, namun tuntutan mereka masih menemui jalan buntu.

Kerajaan Pakatan Harapan seharusnya membantu menyelesaikan masalah ini. Jika dibandingkan dengan skala hutang 1MDB, hutang-hutang KB1M jauh lebih kecil.

Penerbit-penerbit buku harus dibantu, lebih-lebih lagi jika kita benar-benar berhasrat ingin menjadikan Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia menjelang 2020.

Selaku penulis dan penerbit buku, saya faham benar kegusaran pemain industri buku dalam keadaan sambutan terhadap buku yang semakin kurang.

Memberikan mereka bantuan – dengan melunaskan hutang KB1M amatlah wajar dan akan membantu mereka untuk terus aktif menerbitkan buku.

Kita juga wajar memikirkan alternatif dengan pembatalan Baucer Buku 1Malaysia oleh kerajaan sebelum ini yang memberi impak besar kepada industri buku negara.


NIK NAZMI NIK AHMAD
SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN

Share This