Peningkatan mendadak kes Covid-19 kebelakangan pasti merisaukan rakyat Malaysia. Walaupun pihak kerajaan terus mendesak orang ramai untuk mematuhi SOP dalam norma baharu, kita juga memerlukan halatuju yang jelas dan konsisten.

Pengumuman yang tidak jelas dan berubah-ubah mengelirukan orang ramai dan membawa kesan kewangan yang ketara kepada mereka yang terlibat. Lebih-lebih lagi keadaan ekonomi hari ini yang meruncing dan ditambah pula dengan tamatnya moratorium bayaran pinjaman tempoh hari.

Nasib pelajar IPT yang terpaksa berpatah balik atau terkandas akibat pembatalan pendaftaran kemasukan pada saat-saat akhir telah menimbulkan kemarahan orang ramai.

Kita akur dan sedia faham bahawa keadaan ini didorong oleh tindakan yang perlu demi mengutamakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.

Walau bagaimanapun, tanpa pelan jangka panjang untuk menangani isu-isu berkaitan pendidikan tinggi, sudah pasti kita akan berhadapan situasi sama semula apabila berlaku perkara di luar jangkaan.

Pandemik Covid-19 sudah bersama kita lebih setengah tahun dan masih belum ada penyelesaian dalam jangka masa terdekat. Sudah tiba masanya pihak KPT menyediakan pelan atau kerangka yang komprehensif sebagai garispanduan menangani krisis ini untuk sektor pendidikan tinggi.

KPT PERLU SEDIAKAN PELAN

Pihak berkuasa wajib mengambil tindakan agar masalah yang dihadapi tidak berlarutan atau berulang. Sebagai tambahan kepada SOP dan garispanduan yang sedia ada, saya menyeru pihak KPT untuk menyediakan pelan atau kerangka jangka masa panjang untuk menjamin sektor ini tetap bertahan dalam menghadapi cabaran Covid-19.

Kerangka ini boleh dijadikan asas kepada SOP pada masa hadapan, dan dijadikan panduan untuk setiap IPT menyediakan pelan mereka sendiri sejajar dengan keperluan pedagogi setiap bidang pengajian yang berbeza.

Ia juga perlu dilengkapi dengan pelan luar jangka untuk situasi yang berbeza, termasuk kemungkinan kenaikkan kes pada masa akan datang serta mengambilkira risiko pandemik-pandemik lain pada masa depan.

Bagi keluarga yang kurang berada, anak yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti menjadi harapan untuk keluarganya memperbaiki keadaan sosio-ekonomi mereka; tetapi ia juga datang dengan kos tertentu. Kita sepatutnya tidak menambah beban kewangan pelajar dengan keputusan di saat akhir dan jegagalan mewujudkan pelan pengurusan krisis yang mantap.

Untuk mengurangkan bebanan keluarga berpendapatan rendah, saya mencadangkan pihak KPT menyediakan bantuan kewangan kepada mereka yang terkesan: sama ada dari segi pembayaran balik kos perjalanan atau tambahan kepada Bantuan Prihatin yang sedia ada. Rebat yuran untuk tahun 2020 dan 2021 juga patut dipertimbangkan.

Saya juga menyeru pihak KPT menyediakan pengangkutan yang bersesuaian seperti bas kepada pelajar yang perlu kembali ke rumah masing-masing, dan membawa mereka semula ke universiti kelak. Rakyat tidak patut menangggung bebanan tambahan tatkala ramai yang dalam kesempitan.

NIK NAZMI NIK AHMAD
JURUCAKAP PARLIMEN KEADILAN BAGI PENDIDIKAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Share This