Saya bersyukur kerana keputusan tidak rasmi pemilihan KEADILAN telah menunjukkan saya dipilih sebagai salah seorang daripada empat Naib Presiden KEADILAN dan mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa.
Terima kasih saya ucapkan kepada semua anggota yang mengundi dan semua pihak yang membantu dalam kempen kali ini. Keutamaan yang ada sekarang adalah untuk berkhidmat kepada semua anggota KEADILAN dan rakyat Malaysia.
Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Saudara Rafizi Ramli kerana berjaya dipilih sebagai sebagai Timbalan Presiden; Saudara Amirudin Shari, Chang Lih Kang dan Aminuddin Harun yang dipilih dalam barisan Naib Presiden bersama saya.
Dengan gandingan Anwar-Rafizi, saya yakin ini adalah tiket terbaik untuk KEADILAN menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.
Masa depan parti juga positif: Rafizi berusia 44 tahun, manakala Amirudin, 42; Lih Kang, 41, saya 40.
Proses ini boleh menjadi lembaran baharu untuk parti kita, menandakan pembaharuan dan dedikasi kita terhadap perjuangan Reformasi.
Pemilihan kali ini memperlihatkan KEADILAN tidak kekurangan bakat, komitmen, dan semangat dalam kalangan ahli-ahlinya.
Saya berterima kasih kepada rakan-rakan KEADILAN yang bertanding bersama saya. Ada di antara kita yang menang, dan ada yang belum.
Saya percaya bahawa keinginan kita untuk berkhidmat kepada parti dan rakyat tetap utuh. Sudah tiba masanya untuk kita mengetepikan perbezaan, merapatkan saf, dan mula mendapatkan semula kepercayaan rakyat.
Kita harus fokus untuk memenangi PRU15 dan memulihkan kerosakan yang telah dilakukan oleh dua kerajaan terakhir.
KEADILAN masih mengekalkan amalan “satu anggota, satu undi” dan memperkenalkan inovasi baharu seperti aplikasi ADIL dan pengundian atas talian, yang meletakkan kita di hadapan parti arus perdana yang lain.
Namun begitu, kita tak boleh melupakan hakikat bahawa peratusan keluar mengundi adalah rendah untuk pemilihan parti. Ini adalah petanda bahawa lebih banyak perlu dilakukan untuk mengaktifkan akar umbi KEADILAN.
Kita mesti mencari cara untuk memberdayakan ahli kita, bukan hanya dengan menambah anggota dan ranting baharu tetapi memperkasakan para ahli.
Kita perlu memberi tumpuan kepada pembinaan kapasiti untuk lebih ramai kepimpinan wanita – serta memantapkan peranan Sabah dan Sarawak.
Keputusan pemilihan KEADILAN kali ini adalah bukti bahawa anggota KEADILAN telah menolak strategi “Khemah Besar”.
Anggota kita telah menghantar isyarat jelas bahawa mereka mengharapkan KEADILAN untuk memperkukuh gabungan Pakatan Harapan sedia ada.
Mereka mahu kita menolak kepentingan politik dengan jalan pintas, menolak kerjasama dengan kuasa yang telah berulang kali menolak pembaharuan, keadilan sosial serta semangat berbilang kaum dan mengkhianati mandat rakyat.
Mereka telah mengundi kita untuk membentuk manifesto yang meyakinkan dan akan memberi harapan kepada rakyat – terutamanya pengundi atas pagar.
Anggota kita telah mengundi KEADILAN untuk mendengar dan menyediakan penyelesaian kepada pelbagai krisis yang dihadapi rakyat: masalah bekalan makanan, ancaman berterusan Covid-19, infrastruktur yang rapuh, perubahan iklim yang mengancam nyawa, masalah sumber pencarian, kekurangan pekerjaan dengan gaji bermaruah, perumahan yang mahal, sistem pendidikan bermasalah dan pelbagai isu yang lain.
Kepimpinan baharu kita mesti bertindak balas terhadap isyarat yang jelas ini.
Pemilihan parti telah berakhir—kerja untuk membina semula Malaysia mesti bermula.
NIK NAZMI NIK AHMAD
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA
Share This