Sejak kita menghadapi Covid-19, sudah beberapa kali Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyusahkan mahasiswa kerana tiada arahan yang jelas atau memberi arahan yang separuh masak.

Ketika kali pertama kerajaan mengumumkan PKP pada tahun lepas, ramai mahasiswa yang berhadapan dengan keadaan yang sukar; kerana ada sebahagian universiti meminta mahasiswa pulang ke kampung halaman, manakala sebahagian university pula meminta mahasiswa untuk kekal berada di kampus.

Keadaan ini terjadi kerana tiada arahan yang jelas selepas PKP diumumkan. Saya melihat KPT seolah-olah tertidur ketika arahan dan panduan daripada mereka amat diperlukan.

Lebih kurang enam bulan selepas itu, ada pula isu penangguhan pendaftaran (secara fizikal) pelajar di beberapa universiti yang datang pada saat-saat akhir.

Akhirnya, pelajar-pelajar yang perlu melalui Laut China Selatan untuk mendaftar, terkandas bersama keluarga mereka. Mujurlah saya melihat beberapa persatuan mahasiswa membantu mahasiswa baharu dan keluarga mereka.

Sewajarnya KPT melihat secara kritikal impak terhadap keputusan-keputusan yang mereka akan ambil, terutamanya jika ia datang pada saat-saat akhir.

Setelah lebih setahun berhadapan dengan pandemik Covid-19, KPT sekali lagi tidak berhenti menyusahkan mahasiswa.

Kali ini KPT membenarkan pelajar universiti pulang ke kampung halaman untuk sambutan Aidilfitri, dan mengakibatkan ada mahasiswa yang ‘dihalau’ pulang ketika mereka mahu kembali semula ke kampus akibat kawasan universiti terlibat dengan PKP atau PKPD.

Bukankah sepatutnya dari peringkat awal mahasiswa tidak dibenarkan pulang? Keputusan tidak matang seperti ini bukan sahaja akan merugikan mahasiswa, malah meningkatkan risiko jangkitan Covid-19 melalui pergerakan yang kerap.

Saya sarankan KPT berhentilah menyusahkan mahasiswa, sila keluar daripada tema ‘keputusan saat-saat akhir’ atau ‘keputusan separuh masak’ yang telah menjadi tema utama kerajaan Perikatan Nasional.

NIK NAZMI NIK AHMAD
AHLI JAWATANKUASA PILIHAN KHAS PARLIMEN MENGENAI PENDIDIKAN
JURUCAKAP PARLIMEN KEADILAN BAGI PENDIDIKAN
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Share This