Soalan:

Nik Nazmi Nik Ahmad [Setiawangsa] minta Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan status penubuhan Majlis Media Malaysia (Malaysia Media Council) memandangkan laporan telah disediakan oleh Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia atas permintaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah pun dihantar dan draf telah pun siap dirangka oleh Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia.

Jawapan:

Tuan Yang Di Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah pun menerima laporan pro-tem committee Majlis Media Malaysia (MMM) berkaitan Penubuhan Majlis Media Malaysia termasuk cadangan draf Rang Undang-Undang (RUU) pada 3 Ogos 2020 yang lalu.

Kementerian ini juga mendapati bahawa pro-tem committee telah melaksanakan inisiatif sendiri dengan memuat naik dokumen-dokumen tersebut dalam laman sesawang majlismedia.my/mediacouncil.my untuk mendapatkan maklum balas daripada orang awam berhubung draf RUU MMM tersebut.

Kementerian ini telah membuat penelitian awal terhadap Draf RUU MMM yang telah diterima serta mengedarkannya kepada bahagian serta jabatan yang berkaitan di bawah Kementerian ini untuk mendapatkan maklum balas awal yang sewajarnya.

Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa perkara di dalam draf RUU tersebut yang memerlukan penjelasan tambahan daripada pro-tem committee. Justeru, kesemua persoalan tersebut telah diajukan kepada pro-tem committee pada 21 Oktober 2020 bagi mendapatkan penjelasan tambahan seterusnya membolehkan penelitian lebih lanjut dibuat terhadap draf RUU tersebut dan tindakan susulan sewajarnya.

Share This