Soalan: Nik Nazmi Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta Menteri Pertahanan menyatakan status terkini pembinaan Littoral Combatant Ship dan berapa jumlah yang telah dibelanjakan setakat 30 Julai 2021 untuk projek tersebut.
Jawapan:
Tuan Yang di-Pertua,
Sehingga 30 Julai 2021, kemajuan kerja bagi Perolehan enam (6) buah Kapal Second Generation Patrol Vessel berkeupayaan Littoral Combat Ship (LCS) adalah sebanyak 57.05%.
Berhubung dengan status bayaran bagi kontrak perolehan ini, Kementerian telah membelanjakan sebanyak RM6.16 bilion (67.33%) berbanding daripada nilai kos keseluruhan kontrak yang berjumlah RM9.15
bilion. Kementerian sejak tahun 2019 juga telah mengesahkan dalam Parlimen bahawa perolehan tersebut tidak akan dihentikan dan akan diteruskan. Keputusan Kementerian Pertahanan kekal konsisten hingga kini.
Kementerian juga memberi penelitian khusus demi memastikan pembinaan LCS ini mampu disiapkan untuk mengukuhkan lagi sistem
pertahanan negara kita. Sehubungan itu, Jawatankuasa Teknikal LCS telah ditubuhkan pada 2 Julai 2021 bagi melihat semula perancangan perolehan dan mengemukakan Pelan Pemulihan bagi perolehan ini sebelum diangkat semula ke Jemaah Menteri.
Terima kasih
Share This