Soalan:

Nik Nazmi Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta Menteri Pendidikan menyatakan impak pembelajaran atas talian untuk para pelajar:-

(a) Apakah maklum balas pelajar dan cikgu dalam pelaksanaan kelas atas talian. Adakah kelas dijalankan dengan efektif dan adakah cikgu-cikgu dapat mengawasi prestasi pelajar; dan

(b) Apakah langkah yang boleh diambil oleh Kementerian untuk membantu golongan pelajar yang tidak mampu menghadiri kelas atas talian.

Jawapan:

Tuan Yang Di-Pertua,

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited dan berusaha menyediakan akses pembelanjaran kepada murid melalui kaedah ‘Home-based Learning’ mengikut kesesuaian guru dan murid sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Namun, Kajian Kesediaan Murid dalam Pembelanjaran Secara dalam Talian oleh KPM mendapati bahawa sebahagian besar murid tidak memiliki peranti bersesuaian untuk mengikuti pembelanjaran secara dalam talian.

KPM menyedari bahawa terdapat kelemahan dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelanjaran melalui ‘Home-Based Learning’ kerana murid tidak memiliki peranti bersesuaian dan akses terhad kepada internet.

Selain itu, pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian merupakan sesuatu yang baharu untuk kebanyakan guru, murid dan ibubapa. Keadaan ini menyebabkan keberkesanan pengajaran dan pembelanjaran secara dalam talian agak terhad berbanding kaedah secara bersemuka.

Sebagai sebahagian daripada pentaksiran dalam bilik darjah, guru telah berusaha melaksanakan penilaian prestasi murid secara dalam talian. Ini adalah sesuatu yang mencabar kerana pembelajaran tidak berlaku secara menyeluruh serta seragam kepada semua murid dan guru tidak dapat menilai murid secara bersemuka.

KPM menghargai segala usaha guru untuk melaksanakan ‘Home-Based Learning’ bagi memastikan pengajaran dan pembelanjaran murid diteruskan walaupun dalam keadaan yang mencabar.

Untuk makluman Ahli yang Berhormat, antara perkara utama yang dilaksanakan apabila sekolah dibuka semula adalah, guru akan menilai tahap penguasaan murid. Seterusnya, guru akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan murid sekurang-kurangnya mencapai tahap penguasaan minimum dalam setiap mata pelajaran yang diikuti.

Untuk makluman Ahli yang Berhormat, KPM sentiasa berusaha untuk memastikan semua murid mendapat akses pembelajaran secara seragam.

Bagi membantu kumpulan murid yang tidak mempunyai akses kepada talian internet dan alat peranti yang sesuai untuk pembelajaran secara dalam talian, ‘Home-based Learning’ turut dilaksanakan melalui siaran TV Pendidikan. Siaran dilaksanakan melalui melalui saluran TV Okey dan saluran Tutor TV Astro 601 dan 603. Rancangan radio pendidikan juga dilaksanakan menerusi siaran Kedah FM, Terengganu FM, dan Johor FM.

Di samping itu, terdapat juga guru yang melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) melalui serahan bahan pembelajaran kepada murid.

Serahan bahan ini dibuat melalui pelbagai kaedah seperti perkhidmatan pos, bantuan penghantaran oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan kaunter pandu lalu di sekolah.

KPM akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi keberkesanan kaedah ‘Home-based Learning’ ini dari semasa ke semasa. Buat masa ini, KPM sedang merangka strategi pelaksanaan yang komprehensif dalam memperkasa pendidikan digital, termasuk pelaksanaan ‘Home-based Learning’.

Sekian, terima kasih.

Share This