Soalan:
Nik Nazmi Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta Menteri Kewangan menyatakan tentang kerangka perundangan yang mengawal selia perjalanan ‘nominee’ di kalangan pemegang saham.
Jawapan:
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada masa ini, di bawah
undang-undang sekuriti, nominee bagi pemegang saham syarikat awam tersenarai hendaklah mematuhi kehendak-kehendak seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 [Akta 671], Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Berpusat) 1991 [Akta 453] dan juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].
Antara lain, sesuatu nominee hendaklah mematuhi kehendak bagi
memastikan identiti pemilik sebenar (end beneficiary/beneficial owner) melalui proses kenali pelanggan anda (know your client) dan juga memastikan maklumat dan rekod berkaitan pemilik sebenar hendaklah disimpan dengan teratur.
Selain itu, pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia juga boleh meminta kepada sesuatu nominee untuk menzahirkan, sekiranya perlu, maklumat mengenai pemilik sebenar saham-saham tersebut.
Namun, ini adalah terhad kepada jenis-jenis penzahiran yang dibenarkan sahaja seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 45 Akta 453.
Sekian, terima kasih.
Share This