Soalan:

Nik Nazmi Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah penyelesaian terhadap isu Sekolah Sukan Negeri:-

a) sekolah Sukan Negeri Negeri kini dikategorikan sebagai sekolah biasa dan menerima peruntukan makanan dan kelengkapan hanya seperti sekolah kerajaan biasa dan bukan seperti Sekolah Sukan Malaysia; dan

b) keadaan Sekolah Sukan Negeri Wilayah Persekutuan di SMK Seri Titiwangsa yang digelar daif oleh media dan tidak ditempatkan di tapak Bandar Seri Permaisuri yang mempunyai kemudahan sukan yang lengkap.

Jawapan:

Tuan Yang di-Pertua,

a) Sekolah Sukan Negeri (SSN) telah beroperasi sepenuhnya sebagai sebuah sekolah sukan dengan pelaksanaan latihan sukan secara sepenuh masa, terancang dan bersistematik bermula pada tahun 2009. Penubuhan SSN adalah sebagai pelengkap kepada proses pembangunan sukan serta kesinambungan kepada program sukan di peringkat akar umbi hingga ke peringkat negeri dan kebangsaan. Selain itu, SSN berperanan sebagai penyalur (feeder) kepada atlet murid yang cemerlang dan berbakat bagi kemasukan ke Sekolah Sukan Malaysia (SSM).

Status pengoperasian SSN masih sebagai sekolah harian biasa di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). Pengurusan sekolah-sekolah ini adalah melalui mekanisme sistem pengurusan sekolah harian biasa yang tidak tertakluk kepada kadar peruntukan makanan seperti Sekolah Sukan Malaysia yang berada di bawah Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan Malaysia. Sehubungan dengan itu, KPM melalui Bahagian Pendidikan Sukan dan Seni sedang dalam usaha menyemak semula kadar peruntukan makanan atlet murid di SSN dan kelengkap di semua sekolah tersebut. Kertas cadangan sedang disediakan sebelum dibentangkan di peringkat pengurusan tertinggi KPM.

b) Pemilihan Sekolah Sukan Negeri (SSN) adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan memberi pertimbangan terhadap kemudahan asrama, bilik darjah dan juga kemudahan sukan. Sebelum tahun 2010, Kemeterian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mencadangkan supaya SMK Tinggi Setapak dijadikan sebagai Sekolah Sukan Negeri WP Kuala Lumpur. Namun, JPN WP Kuala Lumpur telah memutuskan untuk memilih SMK Seri Titiwangsa sebagai Sekolah Sukan Negeri.

Walau bagaimanapun, pada masa ini, kemudahan sukan di sekolah berkenaan berada dalam keadaan yang kurang baik dan memerlukan kerja pembaikan atau penyelenggaraan supaya dapat digunakan untuk tujuan latihan atau pertandingan oleh atlet murid. Pada tahun ini, pihak KPM telah memberi kelulusan sebanyak RM500,000.00 untuk tujuan penyelenggaraan kemudahan sukan yang telah mengalami kerosakan. Di samping itu, KPM juga telah mengangkat permohonan peruntukan RMKe-11 bagi tahun 2020 dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM2.6 juta.

Untuk makluman, cadangan untuk memindahkan Sekolah Sukan Negeri WP Kuala Lumpur ke SMK Seri Permaisuri, Cheras memerlukan penelitian lebih lanjut kerana sekolah berkenaan tidak mempunyai kemudahan asrama dan dewan makan. Selain itu, beberapa kemudahan sukan sedia ada di sekolah berkenaan juga memerlukan kerja pembaikan supaya berada dalam keadaan yang lebih kondusif, selamat digunakan di samping mencapai piawai untuk tujuan latihan dan pertandingan.

Sekian, terima kasih.

Share This