Soalan:

Nik Nazmi Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta Menteri Pendidikan menyatakan :-

a) berapa jumlah tadika prasekolah yang dikenakan pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan seperti prasekolah KPM, Tabika KEMAS, Taska Permata KEMAS dan Tabika Perpaduan; dan

b) berapa jumlah pelajar dan peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk setiap tadika prasekolah tersebut.

Jawapan:

Tuan Yang di-Pertua,

(a) Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, terdapat tiga (3) agensi yang melaksanakan prasekolah di bawah sektor awam iaitu Prasekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Tadika KEMAS, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Tabika Perpaduan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional, Jabatan Perdana Menteri.

Terdapat juga tadika-tadika swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia seperti mana yang tertakluk di bawah Seksyen 20, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Selain daripada itu, KPM juga mengendalikan Pusat Pendidikan Intervensi Awal GENIUS Kurnia di bawah Program GENIUS Kurnia yang menyediakan perkhidmatan intervensi dan pendidikan awal untuk kanak-kanak autism merangkumi perkhidmatan pra sekolah, intervensi awal serta Pendidikan komuniti.

Berdasarkan rekod KPM pada 30 Ogos 2019, jumlah kelas prasekolah KPM adalah sebanyak 9,479 kelas prasekolah dan satu Pusat Pendidikan Intervensi Awal GENIUS Kurnia.

Manakala di bawah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional, Jabatan Perdana Menteri, terdapat sebanyak 1,781 Tabika Perpaduan dan 41 buah Taska Perpaduan.

(b) Berdasarkan rekod sehingga 30 Ogos 2019, sejumlah 205,199 orang kanak-kanak sedang menerima pendidikan di prasekolah di bawah KPM. Jumlah peruntukan belanja mengurus bagi prasekolah adalah RM 732,534,300.00.

Sementara itu, terdapat 38,250 kanak-kanak mendapat pendidikan di Tabika Perpaduan dan 927 kanak-kanak mendapat pendidikan di Taska Perpaduan. Peruntukan bagi pengendalian Tabika dan Taska Perpaduan ini adalah sebanyak RM 20.9 juta.

Sekian, terima kasih

Share This