Soalan:

Nik Nazmi Nik Ahmad [Setiawangsa] minta Perdana Menteri menyatakan:

a) apakah latar belakang dasar pengisytiharan harta di kalangan
anggota pentadbiran, wakil rakyat dan penjawat awam; dan

b) semua perubahan dasar dan cara pengisytiharan harta di kalangan ketiga-tiga golongan dari awal hingga ke dasar Kerajaan yang terbaharu.

Jawapan:

YB Dato’ Takiyuddin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang)

Tuan Yang di-Pertua,

Kerajaan telah menyatakan komitmen berkaitan perisytiharan harta pada 11 Mac 2020 bahawa semua Anggota Pentadbiran perlu mengisytiharkan harta mereka dan melalui usul daripada YB Menteri di JPM mengenai pengisytiharan harta bagi Ahli Dewan Rakyat yang diluluskan pada 1 Julai 2019.

Seterusnya pengisytiharan harta tersebut dipaparkan di portal SPRM yang boleh diakses di mydeclaration.sprm.gov.my.

Langkah ini penting bagi memberi perspektif kepada rakyat berkaitan usaha-usaha dalam memberi komitmen kepada prinsip akauntabiliti dan ketelusan.

Pengisytiharan harta hendaklah dibuat seperti mana yang dinyatakan dalam Kod Etika bagi Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen yang dikeluarkan selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) Siri 2 Tahun 2018.

Semua Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen hendaklah membuat pengisyiharan harta seperti mana yang dinyatakan dalam Kod Etika tersebut setiap 2 tahun sekali menggunakan Borang Pengisytiharan Harta (Borang PH 1/2018) yang dilampirkan dalam kod etika tersebut dan dikemukakan kepada YAB Perdana Menteri serta disalinkan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Anggota Pentadbiran hendaklah mengemukakan pengisytiharan harta pertama dalam tempoh 3 bulan selepas mengangkat sumpah jawatan.

Langkah Kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan inisiatif pengisytiharan harta oleh Anggota Pentadbiran dalam Mesyuarat JKKMAR pada 25 Jun 2020 lalu juga menunjukkan komitmen Kerajaan untuk mempertingkat akauntabiliti dan ketelusan di kalangan pemimpin serta memastikan integriti dalam sistem pentadbiran Kerajaan.

Manakala bagi penjawat awam pula semua pegawai dikehendaki mengisytiharkan secara bertulis kepada Ketua Jabatan masing-masing segala harta yang dimiliki olehnya atau isteri atau suami atau anaknya atau yang dipegang oleh mana-mana orang bagi pihaknya atau bagi pihak isteri atau suaminya atau anaknya.

Ketetapan ini adalah selaras dengan Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993] dan terpakai kepada semua penjawat awam.

Arahan mengisytiharkan harta turut dijelaskan di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 2002 di mana semua pegawai dikehendaki membuat pengisytiharan harta sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima (5) tahun.

Kegagalan untuk mengisytiharkan harta boleh menyebabkan pegawai diambil tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Awam melalui Surat Edaran JPA Bil. JPA(S)TT.7076 Klt. 12/(91) bertarikh 16 Januari 2009, telah menambah baik pelaksanaan pengisytiharan harta menerusi aplikasi HRMIS di bawah sub modul Pengisytiharan Harta.

Sekian, terima kasih.

Share This