Soalan:

Nik Nazmi Nik Ahmad [Setiawangsa] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan senarai pencerobohan kapal asing ke Malaysia yang ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia antara tahun 2016-2020 mengikut butiran tahun, negara asal kapal dan tindakan ke atas setiap pencerobohan.

Jawapan:

Tuan Yang Di Pertua,

Berdasarkan rekod APMM dari tahun 2016-2020 sebanyak 619 buah kapal asing telah ditahan Agensi. Dari jumlah tersebut, kapal asing dari Vietnam merupakan tangkapan tertinggi iaitu sebanyak 491 buah diikuti negara Indonesia sebanyak 90 buah, Thailand sebanyak 19 buah, dari China sebanyak 13 buah dan dari Taiwan sebanyak 3 buah.

Dari keseluruhan tangkapan tersebut, seramai 5,626 kru kapal asing telah ditahan dan dihadapan ke mahkamah. Kru warganegara Vietnam adalah yang tertinggi iaitu sebanyak 4,945 orang diikuti warganegara Indonesia seramai 459 orang dan dari China seramai 144 orang.

Kapal asing dan kru yang ditahan oleh APMM akan menjalani proses reman dan seterusnya didakwa di bawah peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Perikanan 1985, Akta Perkapalan Saudagar 1952, Akta Imigresen 1959/63, Akta Kastam 1967, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan lain-lain akta yang berkaitan.

Hukuman terhadap kapal asing serta kru pula berbeza mengikut pertuduhan. Sebagai contoh, Akta Perikanan 1985 (Pindaan 2019) telah memperuntukan denda tidak melebihi RM6 juta setiap orang bagi pemilik atau nakhoda kapal manakala denda tidak melebihi RM600 ribu bagi setiap anggota kru atau penjara tidak melebihi dua tahun jika disabitkan kesalahan. Seterusnya warganegara tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan pengusiran.

Kapal yang telah dilucuthak oleh mahkamah pula akan dilupuskan melalui kaedah ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan bagi tujuan pemuliharaan sumber perikanan agar dapat memberi manfaat kepada nelayan sekaligus menjana ekonomi Negara.

Share This