Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Jawapan Pertanyaan Bukan Lisan Kadar Penggunaan Pengangkutan Awam Lembah Klang

Soalan:

Nik Nazmi Nik Ahmad [Setiawangsa] minta Menteri Pengangkutan menyatakan kadar penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang setiap tahun sejak 2010 hingga 2020 mengikut kategori (rel, bas, dan lain-lain lagi).

Jawapan:

Yang Di-Pertua,

1. Untuk makluman Yang Berhormat, pengangkutan awam darat di Lembah Klang merangkumi perkhidmatan mod rel, bas, teksi dan e-hailing. Walau bagaimanapun, bagi tujuan pengiraan kadar penggunaan pengangkutan awam darat, ia hanya merangkumi perkhidmatan massa (mass transit) iaitu rel dan bas sahaja. Perkhidmatan rel yang disediakan adalah seperti LRT, MRT, Monorel, KTM Komuter, KTM Skypark dan ERL. Manakala bagi perkhidmatan bas pula meliputi perkhidmatan bas berhenti-henti bertambang dan perkhidmatan bas percuma seperti GoKL, PJ Citybus dan Bas Smart Selangor.

2. Pada tahun 2015, secara purata, 1.14 juta penumpang telah menggunakan perkhidmatan rel dan bas di Lembah Klang sehari. Jumlah ini telah meningkat kepada 1.16 juta penumpang sehari atau peningkatan sebanyak 2.2% pada tahun 2016. Seterusnya pada tahun 2017, dengan pengoperasian penuh perkhidmatan MRT Jajaran Kajang, jumlah purata penumpang harian meningkat 3.7% iaitu kepada 1.21 juta penumpang sehari. Angka ini terus meningkat dengan mencatatkan kenaikan tertinggi sebanyak 6.1% pada tahun 2018 iaitu sebanyak 1.28 juta penumpang sehari. Jumlah purata penumpang harian telah memuncak kepada 1.30 juta penumpang sehari pada tahun 2019 dengan pertumbuhan sebanyak 1.8%.

3. Rentetan pandemik Covid19 sejak awal tahun 2020, jumlah purata penumpang harian bagi tempoh Januari hingga Ogos 2020 telah jatuh kepada 684 ribu penumpang sehari atau pengurangan sebanyak 47.5% bagi tempoh tersebut. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bula April 2020 mencatatkan jumlah penumpang harian terendah iaitu sebanyak 72 ribu penumpang sehari.

Sekian, terima kasih.