Soalan:

Nik Nazmi Nik Ahmad [Setiawangsa] minta Perdana Menteri menyatakan status kemajuan proses pendaftaran automatik pengundi dan penurunan had mengundi ke 18 tahun ke atas yang telah diluluskan menerusi pindaan Perlembagaan pada tahun 2019.

Jawapan:

YB Dato’ Takiyudin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang)

Tuan Yang Di-Pertua,

Untuk makluman ahli Yang Berhormat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang dalam persiapan untuk melaksanakan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik berdasarkan kepada pindaan Perkara 119(4) Perlembagaan Persekutuan yang telah diluluskan oleh Parlimen pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Keempat Belas. Persiapan yang sedang dilaksanakan oleh SPR adalah meliputi penyediaan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan, penyediaan standard operating procedures (SOP) dan penyediaan sistem dan infrastruktur bagi pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.

Bagi maksud membantu SPR dalam menyediakan SOP pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik ini, SPR telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama beberapa jabatan/agensi Kerajaan seperti Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia
Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Dalam Negeri; Jabatan Pendaftaran Negara (JPN); Jabatan Penjara Malaysia; Pejabat Ketua Pendaftaran Mahkamah; Kementerian Kesihatan Malaysia; Angkatan Tentera Malaysia; dan Polis DiRaja Malaysia.

SPR juga mengadakan beberapa sesi libat urus seperti berikut:

i. Sesi Libat Urus Bersama Parti-Parti Politik Dari Blok Kerajaan Dan Blok Pembangkang (Bipartisan) Berhubung Pelaksanaan Umur Pengundi dan Calon 18 Tahun serta Pendaftaran Pemilih Secara Automatik pada 3 Oktober 2019;

ii. Sesi Libat Urus Dengan Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Parti-Parti Politik Negri Sarawak pada 26 November 2019; dan

iii. Sesi Libat Urus Dengan Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Parti-Parti Politik Negri Sabah pada 3 Disember 2019.

Melalui penganjuran sesi-sesi libat urus tersebut, SPR telah memberi penerangan mengenai perancangan pelaksanaan pindaan undang-undang yang telah diluluskan serta mendapatkan maklum balas dan pandangan daripada semua pihak.

Di samping itu, SPR juga sedang bekerjasama dengan JPN melalui Jawatankuasa Taskforce SPR dan JPN dalam persiapan melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik dan urusan-urusan lain yang berkaitan. SPR menjangkakan semua persiapan yang sedang diambil tindakan oleh SPR akan dapat disiapkan dalam tempoh 18 hingga 24 bulan dari tarikh kelulusan pindaan oleh Dewan Negara pada 25 Julai 2019. Sehubungan itu, jangkaan tarikh pelaksanaan tersebut adalah selewat-lewatnya pada bulan Julai 2021.

Sekian, terima kasih.

Share This