Soalan:
Nik Nazmi Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan:
(a) Megenai penjelasan kelewatan dalam siasatan kematian pegawai kastam, Anisah Ali dirempuh tonto pada 2016 di Pasir Mas, Kelantan; dan
(b) Adakah Kementerian bercadang supaya Ops Wawasan diterajui Pasukan Gerakan Am bagi mengekang aktiviti penyeludupan.

Jawapan:
Tuan Yang di-Pertua,
Bagi menjawab soalan (a) PDRM masih menjalankan siasatan berkaitan kes kematian Anisa Bt Ali berkait Pasir Mas/004927/2016 bertarikh 7 Oktober 2016 di bawah Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan. Laporan polis berkenaan merujuk kepada insiden kereta yang dinaiki oleh mangsa bersama pegawai kastam yang lain telah dihimpit dan dilanggar oleh kenderaan saspek dipercayai tonto di Kampong Banggol Chicha, Pasir Mas, Kelantan sehingga terbabas dan melanggar pokok sehingga menyebabkan kematian kepada mangsa.
Hasil siasatan, pihak polis telah membuat tangkapan terhadap lima saspek dan telah dibebaskan dengan jamin kerana tiada bukti kukuh untuk mengaitkan penglibatan mereka dalam kes ini. Sehingga kini tiada petunjuk baru yang diperolehi oleh pihak polis untuk membantu kes berkenaan.

Bagi menjawab soalan (b) Ops Wawasan pada ketika ini dilaksanakan secara Bersama oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) oleh kerajaan terdahulu. Kementerian mengambil maklum cadangan ini dan akan mengkaji semula penugasan di sempadan negara bersama-sama Majlis Keselamatan Negara dengan mengambil kira penubuhan Agensi Kawalan Sempadan Negara (AKSEM) yang ditubuhkan khusus untuk menyelaras agensi-agensi yang bertanggungjawab mengawal sempadan negara. Walaubagaimanapun, Kajian ini mungkin akan memakan masa kerana perlu melihat semua aspek yang berkaitan.

Share This