Soalan:

Nik Nazmi Nik Ahmad [Setiawangsa] minta Perdana Menteri menyatakan:-

a) berapakah gaji berserta elaun permulaan yang diterima penjawat awam yang berkelulusan minima SPM, PT3 / PMR dan PT3 / PMR ke bawah; dan

b) berapa kalikah gaji dan elaun ini telah dinaikkan sejak tahun 2000, dan nyatakan gaji berserta elaunnya sekali.

Jawapan:

YB Dato’ Takiyudin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang)

Tuan Yang Di-Pertua,

a) Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, gaji minimum bagi pegawai yang mempunyai kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Gred 19 adalah antara RM1,352.00 hingga RM1,377.00 manakala bagi pegawai yang berkelayakan Pentaksiran Tingkatan Tiga / Penilaian Menengah Rendah (PT3 / PMR) atau Gred 11 adalah antara RM1,200.00 sehingga RM1,218.00.

Selain daripada gaji pokok, pegawai Gred 19 dan 11 turut menerima imbuhan tetap seperti Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) serta Bayaran Imbuhan Sara Hidup (BISH)

Mengikut kadar tertentu berdasarkan gred lokasi berkhidmat. Secara amnya, jumlah pendapatan yang merangkumi gaji pokok, imbuhan tetap serta BISH bagi pegawai Gred 19 dan 11 adalah seperti berikut:

Kelayakan: SPM Gred: 19 Pendapatan minima: RM1,967.00 maksima RM4,817.00

Kelayakan: PT3 / PMR Gred: 11 Pendapatan minima: RM1,795.00 maksima RM3,746.00

Selain daripada itu, pegawai dari Kumpulan Pelaksana yang diarahkan untuk bekerja lebih masa juga adalah layak untuk menuntut Elaun Lebih Masa (ELM) mengikut jumlah jam bekerja di luar waktu pejabat.

b) Sejak tahun 2000, Kerajaan telah melaksanakan sebanyak 7 semakan dan pemberian kenaikan gaji kepada semua Pegawai Perkhidmat Awam. Semakan dan pemberian kenaikan gaji kepada pegawai Kumpulan Pelaksana adalah seperti berikut:

i. Tahun 2000 – Kenaikan gaji sebanyak 10%
ii. Tahun 2002 – Kenaikan gaji sebanyak 10%
iii. Tahun 2002 – Peningkatan matagaji sebanyak 15%
iv. Tahun 2007 – Kenaikan gaji sebanyak 25% (Sokongan I) dan 35%
(Sokongan II)
v. Tahun 2012 – Kenaikan gaji sebanyak 13%
vi. Tahun 2013 – Faedah pemindahan gaji bersamaan 1 Kenaikan Gaji
Tahunan (KGT); dan
vii. Tahun 2016 – Faedah pemindahan gaji bersamaan 1 KGT.

Pada 1 Julai 2016, Kerajaan bersetuju menetapkan gaji permulaan terendah pada kadar RM1,200.00 sebulan melibatkan pegawai Gred 11 dengan kelayakan masuk PT3 / PMR. Selain semakan dan pemberian kenaikan gaji, Kerajaan pada tahun 2015 turut melaksanakan semakan kadar Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) dengan memberi kenaikan sebanyak RM120 kepada pegawai Kumpulan Pelaksana, daripada RM180 kepada RM300 sebulan.

Di samping itu, pada tahun 2019 Kerajaan turut mengumumkan kenaikan kadar Bayaran Imbuhan Sara Hidup (BISH) kepada Pegawai Perkhidmatan Awam dari Kumpulan Pelaksana sebanyak RM50 bagi setiap kawasan. Kadar baharu BISH bagi Pegawai Kumpulan Pelaksana adalah RM350 bagi kawasan A, RM300 bagi kawasan B dan RM200 bagi kawasan lain. Kadar bayaran BISH adalah mengikut penyelarasan PBT yang ditetapkan.

Sekian, terima kasih.

Share This