Beberapa bandar di seluruh Amerika Syarikat terus bergolak dengan tunjuk perasaan besar-besaran akibat kematian George Floyd, seorang lelaki kulit hitam warga Amerika yang tidak bersenjata oleh polis. Ini juga rentetan dari pembunuhan warga Afrika Amerika yang lain seperti Breonna Taylor, Ahmaud Arbery, dan lain-lain.

Protes ini hanyalah reaksi terbaru terhadap ketidakadilan perkauman dan sosio-ekonomi di AS. Selain dari kekejaman polis, masalah ini diburukkan lagi oleh sikap perkauman dan kegagalan Presiden mereka, Donald Trump.

AS tidak berhak untuk mengajar negara-negara lain sementara etnik minoritinya, warga pribumi, masyarakat yang paling terpinggir, penunjuk perasaan secara aman dan pelarian yang mencari pertolongan di sana dianiaya menggunakan “alasan” penguatkuasaan undang-undang.

Keadaan ini belum mengambil kira penderitaan mengerikan oleh dasar luar mereka di Palestin atau negara-negara lain.

DASAR KEPOLISAN ADALAH MUSTAHAK

Ramai rakyat Malaysia sedih dan marah dengan peristiwa yang membawa kepada protes George Floyd, dan kita berhak untuk marah.

Cuma, kita juga mesti menerima hakikat bahawa hak asasi manusia di negara kita, terutama berkaitan dengan kepolisan dan undang-undang – jauh dari ideal.

Adalah hipokrit bagi kita untuk mengutuk apa yang sedang berlaku di Amerika, sambil mengabaikan masalah yang ada di negara kita.

Pasukan polis tidak dapat berfungsi dengan berkesan tanpa kepercayaan dan keyakinan masyarakat. Ia adalah kerjasama dua hala.

Mangsa salahlaku polis – termasuk insiden N Dharmendran dan Aminulrasyid Amzah – dapat dijumpai di kalangan semua kaum.

Malah, satu kematian pun sudah terlalu banyak.

Segala penyalahgunaan atau kesalahan mesti didedahkan dan diperbetulkan dengan segera untuk meningkatkan kewibawaan sistem perundangan di negara kita.

Di Malaysia kita beruntung kerana kita sangat berbeza dengan Amerika. Tetapi apa yang sedang berlaku di AS sekarang adalah peringatan kepada Malaysia tentang apa yang boleh terjadi jika kita terus mengabaikan atau melarikan diri dari masalah ini.

PDRM WAJAR DIHORMATI

Institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhak mendapat penghormatan dan sokongan dari semua rakyat.

Mereka telah berkhidmat dengan penuh dedikasi, jujur, bahkan sanggup mengorbankan nyawa mereka dalam semua krisis yang dihadapi oleh negara kita – termasuklah baru-baru ini dalam isu pandemik COVID-19 dan kerja keras mereka semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Semua pihak – lebih-lebih lagi pegawai PDRM – ingin menjadikan anggota polis kita lebih professional dan responsif kepada hak asasi manusia.

MELAKSANAKAN LAPORAN SURUHANJAYA TUN DZAIDDIN

Pada tahun 2004, Tun Mohamed Dzaiddin Haji Abdullah, mantan Ketua Hakim Negara Malaysia yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agong telah mempengerusikan Suruhanjaya Diraja untuk Meningkatkan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia.

Penemuan Suruhanjaya itu yang dikenali sebagai “Laporan Suruhanjaya Tun Dzaiddin” telah diterbitkan setahun kemudian dengan lebih dari 600 halaman dan 125 cadangan untuk menjadikan PDRM lebih baik.

Objektif Strategik laporan tersebut berpendapat bahawa polis Malaysia:

“… perlu terus menegakkan undang-undang, menjaga keamanan dan memerangi jenayah tetapi dalam mencapai matlamat ini, PDRM mesti mematuhi hak asasi manusia, menggunakan kuasa-kuasa mereka dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja sebagaimana yang dibenarkan oleh undang-undang. Sebaliknya, PDRM harus melihat dirinya sebagai penjaga hak orang awam. PDRM juga harus menganggap dirinya sebagai badan yang “berkhidmat” dan bukannya yang “berkuasa”, walaupun sesetengah ciri separa tenteranya perlu dikekalkan. Akhir sekali, PDRM perlu bersikap lebih telus dan bertanggungjawab terutama kepada badan-badan bebas yang ditubuhkan oleh Kerajaan dan kepada rakyat.”

Laporan tersebut membincangkan tentang mendemokrasikan pasukan polis untuk melibatkan semua pihak yang berkepentingan dalam masyarakat, sesuai dengan semangat PDRM “polis dan masyarakat berpisah tiada”. Ini juga akan menjadikan perkhidmatan polis yang dihormati, yang bertindak untuk kepentingan nasional, bukan kepentingan kepartian yang sempit dan bakal menikmati keadaan kerja dan kehidupan yang lebih baik.

IPCMC DIPERLUKAN, TAPI…

Ini membawa saya ke cadangan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang merupakan salah satu daripada 125 cadangan Laporan Tun Dzaiddin.

Usul ini menjadi titik perdebatan utama yang timbul dari Suruhanjaya dan Laporannya.14 tahun kemudian, RUU untuk menjadikannya realiti akhirnya dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2019.

Walaupun Bacaan Kali Kedua ditangguhkan, ia merupakan langkah ke arah yang betul. Semua pihak berkepentingan – termasuk kepimpinan PDRM – telah berpeluang memberikan maklum balas mengenainya.

Sudah tentu, mekanisme yang ada seperti Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tidak mencukupi untuk PDRM.

Kekurangan EAIC memang diketahui umum, termasuk hakikat ia tidak mempunyai kemampuan untuk menilai salah laku secara bebas.

Sesiapa pun yang memerintah – Perikatan Nasional, Muafakat Nasional atau PH Plus mesti meneruskan usaha RUU IPCMC ini.

Ini merupakan satu lagi urusan Parlimen yang mendesak, malangnya ia diabaikan. Saya dan Ahli-Ahli Parlimen lain pasti akan membahaskan Rang Undang-Undang itu dengan teliti apabila dia dibawa ke Parlimen untuk memastikan kepentingan semua pihak berkepentingan dilindungi.

Semua maklum balas boleh dipertimbangkan. Sebagai contoh, nama baru dapat dipertimbangkan jika “IPCMC” terlalu kontroversi atau membuatkan polis dan penyokong mereka merasa terlalu defensif dengan penggunaan istilah ‘Salah laku’ di situ.

Tetapi kuncinya ialah RUU ini harus diteruskan dan badan yang memenuhi hasrat Laporan Tun Dzaiddin perlu diwujudkan secepat yang mungkin.

MASIH BANYAK YANG PERLU DILAKUKAN

Meningkatkan kualiti pihak polis di Malaysia tidak hanya berakhir dengan penubuhan IPCMC.

Ia cuma salah satu daripada 125 cadangan Laporan Tun Dzaiddin.

PDRM yang dapat menjaga keselamatan rakyat Malaysia, serta bebas dari rasuah dan penyalahgunaan lain akan memerlukan saranan Laporan ini dilaksanakan sepenuhnya – termasuk cadangan mengenai pengambilan, latihan, kelengkapan dan peningkatan kesejahteraan anggota.

Seperti yang dinyatakan oleh laporan ini:

“Suruhanjaya berpendapat bahawa sumber manusia perlu ditambah di beberapa Jabataan di PDRM seperti Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan (JSJP)… Suruhanjaya juga mendapati tugas polis di zaman moden ini semakin kompleks dan canggih yang mana memerlukan pelbagai kecekapan profesional yang bukan sebahagian daripada kecekapan polis yang lazim.”

Selain itu:

“Suruhanjaya menganggap saraan anggota PDRM dan juga peluang kenaikan pangkat agak memuaskan dan setanding dengan Angkatan Tentera Malaysia dan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Malaysia. Walau bagaimanapun, Suruhanjaya mencadangkan elaun khas untuk semua anggota dan pegawai PDRM yang ditugaskan di bandar besar di mana kos sara hidup adalah tinggi.”

Suruhanjaya itu turut memberi syor:

“… PDRM perlu melaksanakan program komprehensif dan bersepadu bagi penyelesaian ICT yang berkesan dalam operasi polis. Kaedah dan cara penggunaan IT yang sama diperlukan berkaitan dengan pengurusan aset termasuk pengangkutan bagi memastikan sumber yang ada mencukupi dan digunakan secara berterusan. Ini merupakan faktor penting dalam menentukan keberkesanan dan kecekapan PDRM.”

Yang paling kritikal:

“… salah satu masalah utama yang dihadapi oleh PDRM ialah kekurangan perumahan dan keadaan perumahan dan premis kerja yang daif, walaupun terdapat juga struktur yang moden dan selesa… Keadaan tempat tinggal dan tempat kerja yang tidak sempurna bagi sebahagian besar anggota polis semestinya memberikan kesan yang negatif terhadap moral dan harga diri. Keadaan itu memberi kesan terhadap prestasi mereka. Begitu juga, keadaan yang daif beberapa balai polis, pejabat pentadbiran dan pusat latihan serta tidak mempunyai kemudahan yang mencukupi telah membawa pandangan negatif terhadap polis oleh masyarakat. Keadaan ini menyebabkan masyarakat beranggapan bahawa PDRM tidak efisien dan tidak mampu memberi perkhidmatan. Keadaan yang tidak memuaskan ini tidak boleh dibiarkan berterusan.”

Hari ini, 15 tahun selepas Laporan Tun Dzaiddin, polis Malaysia masih menghadapi masalah ini.

Desakan untuk melaksanakan cadangan Laporan Tun Dzaiddin secara holistik – bukan dalam IPCMC semata-mata – akan membantu memenangkan banyak pihak terhadap transformasi dalam perkhidmatan polis untuk mempersiapkan mereka untuk menghadapi abad ke-21.

Protes George Floyd telah menghidupkan kembali perdebatan global mengenai peranan dan sifat kepolisian.

Perubahan jelas diperlukan, termasuk di Malaysia.

Kita perlu sedar bukan sahaja masyarakat awam, tetapi juga ahli politik dan polis sendiri perlu memahami perkara ini.

Dengan keazaman politik — tidak ada alasan mengapa keadaan ini tidak boleh berubah ke arah yang positif bagi semua pihak berkepentingan.

Share This