Saya kesal mendengar hasil laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung pelaksanaan 13 daripada 16 projek ‘land swap’ Kementerian Pertahanan. Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu telah membuat pendedahan ini di Parlimen pada 9 Mei yang lalu.

Laporan mendapati ia melibatkan mantan Perdana Menteri, Najib Razak dan mantan Menteri Pertahanan, Hishamuddin Hussein. Hasil siasatan ke atas 16 projek tersebut, pihak JKSTUPKK mendapati anggaran kerugian atau ketirisan hasil kerajaan adalah melebihi RM500 juta.

Lebih mendukacitakan sebahagian besar ‘land swap’ ini melibatkan pembinaan kem-kem tentera di kerusi-kerusi marginal UMNO bagi membolehkan kemenangan UMNO dalam Pilihan Raya yang lepas. Kem-kem ini dikenalpasti tidak mempunyai kepentingan strategik bagi pertahanan negara.

Saya telah bangkitkan isu ini di dalam Sidang Parlimen yang lepas ketika membahaskan Ucapan Titah Diraja.
Semoga ada tindakan yang pantas akan dilakukan bagi mendakwa mereka yang bertanggungjawab. Hal ini amat serius – memandangkan ia melibatkan soal pertahanan negara.

Kita tidak boleh mengorbankan soal pertahanan negara semata-mata demi kepentingan politik, ia adalah satu pengkhianatan yang amat besar.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Share This