Keputusan Foodpanda untuk mengekalkan kaedah pembayaran upah yang baru walaupun telah diminta oleh kerajaan untuk mengembalikan kaedah sebelum ini adalah dikesali.

Seperti yang dinyatakan dalam laporan media, sejumlah besar para penghantar makanan telah menyatakan kebimbangan dan rasa tak puas hati terhadap kaedah pembayaran yang baru. Orang ramai turut menunjukkan sokongan mereka.

Ia amat dikesali apabila kita tidak menemui jalan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Adalah penting untuk pekerja-pekerja di sektor “gig economy” dibayar upah yang setimpal sementara syarikat tersebut terus berkembang.

Syarikat-syarikat teknologi di Malaysia perlu melihat keperluan para pekerjanya dan pandangan masyarakat. Saya berharap semua pihak yang terlibat akan terus berkomunikasi secara telus dan terbuka mengenai perkara ini untuk memastikan keadilan berlaku.

Pada skala yang lebih besar, kejadian ini mendedahkan bahawa Malaysia perlu berbuat lebih banyak untuk mempersiapkan diri untuk kebangkitan ekonomi. Kita mesti sama-sama bimbang dengan memastikan pekerja di semua peringkat dalam sektor ini diberi bayaran dengan betul dan bagaimana untuk merangsang pemberian insentif kepada pembangunannya.

California di Amerika Syarikat baru-baru ini telah meluluskan undang-undang bersejarah untuk menghendaki perniagaan – termasuk syarikat ‘ride-hailing’ seperti Uber dan Lyft – untuk menganggap pemandu sebagai pekerja, bukan kontraktor bebas dalam kebanyakan keadaan.

Ini bermakna pekerja sedemikian akan menerima perlindungan dan manfaat buruh seperti insurans pengangguran, kerja lebih masa, gaji minima dan hak untuk kesatuan.

Ia mungkin masa untuk Malaysia mempertimbangkan undang-undang yang sama; walaupun pandangan para pekerja dan majikan mestilah diperhalusi. Saya faham Kementerian Sumber Manusia sedang mempertimbangkan untuk meminda undang-undang bagi memasukkan siapa yang boleh ditakrifkan sebagai pekerja.

Langkah-langkah lain yang mungkin dapat diguna pakai termasuk pengenalan gaji minimum setiap jam, yang akan sangat membantu pekerja gig-economy, dengan syarat mereka memenuhi piawai produktiviti tertentu.

Semua pihak harus sedar bahawa upah yang rendah tidak baik untuk semua dalam jangka masa yang panjang. Malaysia telah menekan kadar upah buat terlalu lama. Laporan Bank Negara pada 2018 mendapati pekerja Malaysia masih dibayar kurang dari pekerja-pekerja ekonomi penanda aras yang lain, meskipun selepas mengambilkira produktiviti.

Sebaliknya, apa yang diperlukan ialah dasar-dasar yang bijak serta kerjasama semua pihak untuk memastikan bahawa rakyat Malaysia yang bekerja dibayar dengan baik dan produktif.

Ini adalah sesuatu diambil kira kerajaan untuk bergerak ke hadapan. Sementara itu, usaha mesti diteruskan untuk memastikan resolusi yang tepat kepada isu penunggang Foodpanda.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Share This