Tun Dr Mahathir Mohamad dalam wawancara Asia Times telah mengatakan krisis di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Azmin Ali telah menyebabkan berlakunya Langkah Sheraton yang telah membawa kejatuhan Pakatan Harapan.

Jika kita mengimbau apa yang berlaku pada peringkat awal penubuhan kerajaan Pakatan Harapan, Dr Mahathir telah meletakkan Azmin dan pasukannya di kabinet.

Azmin dilantik menjadi menteri walaupun tidak dicalonkan oleh parti, kerana ketika itu dia telah pun menjadi Menteri Besar.

Azmin dan pasukannya diberi jawatan penting dengan tujuan menjadikan KEADILAN lebih porak-poranda. Padahal, Azmin, Zuraida dan sekutu mereka merupakan di antara individu yang paling tak bersetuju untuk menamakan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan dengan alasan Malaysia perlukan tokoh lebih muda seperti Azmin.

Anwar pernah bertemu dengan Mahathir untuk beri nasihat dan amaran tentang risiko menghadiahkan Azmin dengan pasukannya jawatan-jawatan penting, kerana beliau mempunyai cita-cita politik yang besar. Tindakan Mahathir memberikan jawatan-jawatan penting kepada pasukan Azmin seolah-olah ingin mengganggu KEADILAN, di atas sebab itu Anwar cuba berunding dengan Mahathir.

Mahathir adalah orang yang bertanggungjawab untuk mengukuhkan kedudukan Azmin sehingga dia menjadi watak penting dalam Langkah Sheraton. Ia tidak adil untuk Mahathir menyalahkan Anwar atau KEADILAN semata-mata, hanya untuk melepaskan diri dari mengakui dirinya menjadi penyumbang terbesar kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Share This