Hari ini kita menyambut Hari Wilayah Persekutuan. Kita meraikan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya – bukan sahaja bandar-bandar ini istimewa ini, ia juga dihidupkan dengan warga yang pelbagai, rajin dan kaya dengan budi.
Perayaan tahun ini berlaku semasa pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Darurat. Saya meminta agar semua warga WP terus mematuhi pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP) dan kekal selamat.
Perdana Menteri telah menggariskan pelbagai inisiatif yang telah dilakukan oleh kerajaannya untuk membantu rakyat Wilayah Persekutuan.
Malangnya, kenyataannya tidak memadai berbanding krisis kesihatan awam dan sosio-ekonomi yang yang wujud ketika pandemik.
Kehidupan rakyat Malaysia di Wilayah Persekutuan dan bandar-bandar lain dalam sektor utama – termasuk pekerjaan, pendidikan, infrastruktur, persekitaran dan keselamatan awam – amatlah tidak memuaskan, terutama bagi golongan B40 dan M40.
“Hadiah” terbaik yang boleh diberikan oleh kerajaan di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pada Hari Wilayah Persekutuan adalah komitmen untuk bekerja lebih dekat dengan anggota Parlimen dan masyarakatnya. Ia untuk mendapat nasihat-nasihat yang masuk akal yang diberikan dengan niat baik, termasuk mengenai bagaimana mengendalikan pandemik ini.
Hal ini tidak dapat berlaku semasa Parlimen tidak bersidang, atau ketika anggota pentadbirannya nampaknya bertekad untuk memusuhi sebilangan besar Ahli Parlimen WP.
Suara rakyat WP nampaknya tidak diendahkan, termasuk yang paling rentan dan kurang bernasib baik seperti golongan muda, ibu bapa tunggal, gelandangan, pesakit mental dan pekerja migran.
WP memerlukan perubahan. Tidak ada gunanya membicarakan semua bantuan yang diberikan ketika PKP – yang belum menunjukkan hasil positif walaupun sudah dilaksanakan beberapa minggu – ia menyusahkan hidup tanpa membantu menurunkan lekuk jangkitan.
Untuk jangka panjang, governans tempatan harus dikembalikan ke Kuala Lumpur, dalam bentuk pemulihan pilihan raya kerajaan tempatan. Kaedah ini memastikan perkembangannya sebagai bandar raya bertaraf dunia dengan memberi ruang Kuala Lumpur ditadbir bagi kepentingan warganya.
Keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini dalam kes Taman Rimba Kiara adalah bukti bahawa Kerajaan Persekutuan tidak selalu mengetahui yang terbaik untuk bandar-bandar besar kita. Di Setiawangsa, kita ada kes Taman Tiara Titiwangsa, di mana penduduk telah menang sehingga ke Mahkamah Rayuan.
Wilayah Persekutuan pasti dapat muncul sebagai hab antarabangsa yang menarik komuniti dari seluruh dunia. Namun, kita mesti dapat mengurus rakyatnya terlebih dahulu – untuk memastikan mereka sihat, selamat dan dapat mengekalkan pekerjaan – hal ini memerlukan kepemimpinan yang mementingkan rakyat.
Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan adalah bandar-bandar istimewa. Dan warga Wilayah Persekutuan juga istimewa. Dengan kebijaksanaan, kerjasama dan kepemimpinan yang tulen, tidak ada sebab mengapa ia tidak dapat pulih dan akhirnya terus berkembang.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA
Share This