Wall Street Journal mendedahkan pegawai dari China memberitahu rakan sejawatnya di Malaysia bahawa ia akan menggunakan pengaruhnya untuk meyakinkan negara lain untuk menggugurkan siasatan berkaitan 1MDB sebagai balasan kepada projek-projek kereta api dan saluran paip Malaysia untuk ‘Belt and Road Initiative’.

Pendedahan itu turut mendakwa China menawarkan untuk ‘mengintip’ rumah dan pejabat wartawan WSJ yang melaporkan 1MDB di Hong Kong.

Lebih membimbangkan, ia juga mendakwa bahawa “perbincangan rahsia” telah diadakan “… untuk membenarkan kapal-kapal tentera laut China di dua pelabuhan Malaysia”, walaupun akhirnya hal ini tidak berlaku.

Laporan itu juga menyatakan bahawa Perdana Menteri pada masa itu, Najib Razak menyuarakan sokongan untuk kedudukan China dalam pertikaian Laut China Selatan.

Sekiranya tuduhan-tuduhan ini benar, ia menunjukkan bahawa tindakan pentadbiran terdahulu telah menjejaskan kedaulatan dan sifat berkecuali Malaysia.

Dakwaan ini mesti disiasat dengan teliti, dan tindakan undang-undang yang tegas harus diambil terhadap pelaku.

Selain itu, kerajaan China (PRC) mesti membersihkan nama daripada tuduhan ini. Perbuatan yang diterangkan dalam WSJ pastinya bukan tingkah laku yang menggambarkan sikap bertanggungjawab. Penafian dengan menyatakan kerajaan China tidak campurtangan dalam hal dalaman negara lain tidak cukup.

Saya berharap kerajaan Malaysia akan mengambil langkah-langkah positif untuk mempertahankan hak-hak kita yang sah di Laut China Selatan berdasarkan pendedahan ini.

NIK NAZMI NIK AHMAD
SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Share This