Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Belajar Dari Kesilapan PPSMI

Saya menyeru kerajaan mempertimbangkan semula pengumuman Perdana Menteri yang sedang memangku jawatan Menteri Pendidikan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan hasrat untuk memperkenalkan semula Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Kita harus mengakui kepentingan Bahasa Inggeris, namun memperkenalkan semula PPSMI akan memberi impak yang besar kepada keberkesanan pendidikan. Kita mesti mengimbas semula mengapa PPSMI dimansuhkan pada tahun 2012.

Penggunaan Bahasa Inggeris dalam subjek Matematik dan Sains telah menyebabkan pelajar yang rendah penguasaan Bahasa Inggeris menghadapi kesukaran untuk memahami kedua-dua subjek penting ini.

Akhirnya minat kumpulan pelajar ini terhadap dua subjek tersebut menurun, dan mereka menjadi ‘generasi hilang’.

Guru-guru pula menghadapi kekangan untuk mengajar dalam Bahasa Inggeris kerana ada segelintir pelajar yang belum mampu memahami pembelajaran yang dijalankan sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris.

Kita juga berhadapan dengan isu guru Sains dan Matematik yang lemah penguasaan Bahasa Inggerisnya dan tidak boleh dihasilkan segera atau digantikan dengan mudah.

Kita mesti jelas apa matlamat kita sebenarnya.

Jika kita benar-benar mahu memperkasakan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, kita harus memperkemaskan mutu dan silibus subjek Bahasa Inggeris.

Ini pendekatan lebih berkesan berbanding menambah Bahasa Inggeris dalam subjek lain bukanlah solusi yang terbaik.

Tambahan lagi, kita telah memiliki Program Dwibahasa atau Dual Language Programme (DLP) yang dimulakan sejak tahun 2016.

Program ini memberi ruang kepada sekolah untuk memilih pembelajaran menggunakan Bahasa Melayu atau Inggeris mengikut kemampuan pelajar dan pilihan ibu bapa.

Saya pasti ibu bapa dan sekolah lebih memahami kemampuan pelajar dan guru mereka berbanding pendekatan pukul rata.

Saya merupakan bapa anak yang berada di sekolah kebangsaan. Saya mahukan kerajaan memastikan sistem sedia ada berjalan dengan baik, bukannya mengubah sistem pendidikan berkali-kali.

Kita harus mengelakkan perubahan polisi pendidikan yang terlalu kerap kerana ia akan memberi kesan secara langsung kepada guru dan pelajar. Ramai di antara mereka akan terbeban.

Kita patut mengambil semangat Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 yang dikeluarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Menteri Pendidikan. Pelan ini sepatutnya dijadikan kiblat dalam kita
merangka polisi pendidikan.

Apa yang kita patut fokus adalah memastikan semua rakyat mempunyai akses kepada pendidikan dan menambah pelaburan ke arah pendidikan.

Usaha untuk memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) harus diteruskan, dan persediaan pendidikan ke arah Revolusi Industri 4.0 wajib diperkemaskan.

Sekali lagi kita perlukan perundingan, perancangan dan kesabaran.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA