Bajet 2016 kerajaan Barisan Nasional tidak memberi apa-apa nilai baru kepada negara, kerana kita hanya menyaksikan strategi fiskal yang sama sahaja semenjak Perdana Menteri Najib Razak mula berkuasa.

Seperti biasa, golongan pertengahan telah diabaikan, dan walaupun golongan berpendapatan tinggi dikenakan cukai lebih, tetapi kerajaan tidak berbuat apa kepada sektor korporat sementara itu golongan berpendapatan rendah masih terus dibebankan dengan GST.

Tetapi apa yang paling merisaukan berkenaan Bajet 2016 adalah potongan sebanyak RM1.4 billion daripada bajet Pendidikan Tinggi. Kerajaan akan mewajarkan tindakan ini dengan mengatakan bahawa ianya selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi), yang menggalakkan pihak Universiti sendiri mencari dana kewangan. Tetapi dengan potongan yang begitu besar pastinya pihak Universiti akan menghadapi kesukaran kerana Pelan tersebut baru lagi diumumkan tahun ini dan Universiti hanya diberi beberapa bulan untuk menyesuaikan diri.

Dalam pada itu, perbelanjaan pembangunan yang ditetapkan bagi bajet Pendidikan Tinggi merupakan yang terendah sejak Najib menjadi Perdana Menteri, dan pada kadar 12.04% daripada keseluruhan bajet, ia merupakan pengurangan yang ketara berbanding dengan ketetapan 34.55% daripada keseluruhan bajet pada tahun 2010.

Sudah sedia maklum bahawa kualiti institut pendidikan tinggi negara ini semakin merosot, walaupun kita mempunyai rakyat yang begitu berbakat dan bijak. Isu pengaliran keluar pakar seringkali dibincangkan, sedangkan kerajaan sepatutnya meningkatkan lagi keyakinan terhadap IPTA, pengumuman bajet ini hanya mampu menggusarkan lagi keadaan.

Tindakan kerajaan itu akan membangkitkan pelbagai isu. Adakah Universiti akan terkesan dengan kekurangan kemasukan pelajar? Adakah penyelidikan akan berkurangan? Adakah pelajar sendiri mendapat kurang perhatian kerana pihak Universiti sibuk perlu mencari dana sendiri dengan begitu banyak?

Tempat di IPTA telah dikurangkan sejak dua tahun berturut-turut meskipun keputusan pelajar yang layak ke IPTA terus meningkat. Ini membuatkan pelajar yang tidak mendapat tempat atau jurusan sesuai di IPTA terpaksa ke IPTS dan berharapkan pinjaman PTPTN. Peruntukan PTPTN pula telah dipotong antara 15 hingga 25 peratus.

Ini juga terjadi berikutan isu-isu berkenaan biasiswa MARA dan JPA yang memperlihatkan polisi diubah secara rambang, jumlah penerima biasiswa berkurangan dengan banyak dan kebajikan pelajar diabaikan hampir sepenuhnya.

Semua ini menjadi persoalan sama ada kerajaan telah berputus asa terhadap pendidikan tinggi dan lebih rela memperjudikan masa depan generasi muda demi menutup masalah-masalah kewangan negara akibat kegagalan tadbir urus kerajaan Najib Razak.

Bajet 2016 membuktikan bahawa Najib Razak hanya mementingkan diri dan langsung tidak cekap. Dengan hanya menumpukan perhatian untuk memperoleh undi golongan luar bandar, Barisan Nasional seakan-akan sudah mengisytiharkan perang terhadap golongan pertengahan.

Share This