Semalam saya menyifatkan isu mempolitikkan pengagihan pendapatan ASB sebagai tindakan berniat jahat dan jahil.
Namun Kerajaan juga perlu mempertimbangkan beberapa penambahbaikan kepada ASB, untuk meningkatkan tumpuannya kepada tujuan asalnya, iaitu untuk menggalakkan simpanan dan meningkatkan kekayaan golongan Bumiputera yang miskin dengan memiliki kepentingan yang lebih besar dalam ekonomi negara kita. Keperluan menambahbaik ini telah wujud sekian lama, bukan pada era Malaysia Baharu ini.
Ada beberapa fakta mengenai ASB yang memerlukan kita memberi tumpuan semula kepada Bumiputera miskin dan sederhana yang ramai, bukan kelompok kecil elit semata-mata.
Hampir 80 peratus (7.4 juta) pemegang unit ASB mempunyai unit bernilai kurang RM5,000 pada 2018. Peratusan yang kecil, sebanyak 0.24 peratus mempunyai RM500,001 dan ke atas.
Pemegang unit ASB yang dalam kalangan B40 dan hanya mempunyai RM4.1 bilion manakala 9.15 peratus teratas mempunyai RM127.5 bilion dalam dana unit amanah.
Oleh itu, sementara pekali Gini nasional (ukuran ketidaksamaan) telah bertambah baik dari 0.513 pada tahun 1970 kepada 0.399 pada 2016, pekali Gini di ASB adalah 0.84 atau sangat tidak sama rata.
Terdapat keperluan untuk mempertimbangkan pengenaan had bayaran dividen kepada pelaburan maksimum yang dibenarkan (bukannya meletakkannya pada baki sebenar akaun, walaupun ia melebihi pelaburan maksimum yang dibenarkan sebanyak RM200,000).
Pilihan yang pertama memberi manfaat kepada semua orang, tetapi menjadikannya sangat sukar bagi PNB untuk menandakan pelaburan ke pasaran dengan betul, dan yang kedua memberi manfaat kepada 10 peratus pendeposit terkaya, yang menyumbang sebanyak 60 hingga 70 peratus, atau lebih, daripada dana ASB .
Satu langkah yang boleh dipertimbangkan dalam jangka masa sederhana adalah untuk menjadikan dividen ASB bertingkat, dengan pemegang unit yang secara sosi-ekonomi diklasifikasikan dalam kumpulan B40 dan M40 diberi dividen yang lebih tinggi berbanding pemegang unit T20. Kumpulan Wang Simpanan Pusat Singapura (CPF) beroperasi mengikut mekanisme sama.
Langkah ini tidak sepatutnya dianggap sebagai satu cubaan untuk “menghukum” golongan Bumiputera T20, terutamanya jika selama ini mereka bersedia dan sanggup untuk menyimpan wang mereka serta menyokong ASB.
Sebaliknya, seperti yang dinyatakan, ini untuk memastikan ASB menjadi saluran yang cekap untuk menaikkan Bumiputera B40 dan memberikan M40 rangsangan tambahan apabila mereka memerlukannya.
Hakikatnya, bertentangan dengan gambaran umum, jurang kaya-miskin bersifat pelbagai dimensi: termasuk antara kumpulan etnik, dan juga dalam setiap kumpulan etnik-termasuk antara golongan Bumiputera.
Maka dividen ASB yang tinggi tidak bermakna jika ia hanya menjadikan Bumiputera T20 lebih kaya manakala B40 dan M40 ketinggalan di belakang.
Skim-skim pinjaman dari bank-bank untuk Bumiputera meminjam dan melabur ke dalam ASB juga harus dipertimbangkan semula kerana khuatir ia akan mengeruhkan lagi suasana sekiranya keadaan pasaran dunia dan tempatan dalam keadaan gawat. Bank tidak seharusnya meraih keuntungan daripada kerugian rakyat biasa.
Tidak ada gunanya membuat atau memperoleh kekayaan untuk Bumiputera jika ia tertumpu pada T20, atau jika kekayaan itu diagihkan dengan cara yang mengurangkan keberkesanannya.
Perubahan harus dilakukan untuk memastikan bahawa kekayaan yang dihasilkan oleh PNB lebih fokus untuk memajukan golongan Bumiputera B40 dan M40.
Semestinya, sebarang perubahan akan memerlukan kajian terperinci dengan penglibatan dan komunikasi yang teliti. Sering kali, Malaysia Baru tidak berkesan dalam bab ini. Lebih-lebih lagi ASB dan ekonomi Bumiputera adalah perkara yang sensitif dan emotif.
Saya harap Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Yayasan Pelaburan Bumiputera dan PNB akan memberi isu ini pertimbangan yang teliti menjelang tahun 2020.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Share This