Dividen terendah sebanyak 2% yang diumumkan oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengundang kekecewaan namun ia adalah akibat daripada salah urus dan penyelewengan sejak bertahun-tahun lamanya.

Masalah yang dihadapi bukanlah satu fenomena baru, melainkan hasil daripada peninggalan dan salah laku masa lalu. Apa yang diperlukan ialah langkah-langkah konkrit untuk mengukuhkan LTAT dan kebajikan mereka yang telah sekian lama menjadi wira kepada negara.

Ia agak mengecewakan apabila Ahli Parlimen Sembrong dan bekas Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein cuba mengambil kesempatan terhadap isu ini dengan menyalahkan Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan kerana dividen yang diberikan rendah.

Beliau telah memilih untuk mengabaikan keputusan audit oleh Ernst & Young yang mendapati kadar keuntungan LTAT terkesan oleh lebihan dividen yang dibayar pada tahun-tahun sebelumnya.

Pulangan aset lima tahun dari tahun kewangan 2014 hingga 2018 (selepas menolak keuntungan ‘one-off’) adalah lebih rendah daripada kadar dividen yang diisytiharkan.

Sebenarnya, LTAT telah membayar dividen melebihi kemampuan kewangan mereka. Ia adalah sesuatu yang janggal untuk bekas ahli kerajaan sebelum ini untuk menjual hujah dividen yang tinggi pada zaman mereka, sedangkan mereka sedang menjejaskan masa hadapan LTAT dan dana-dana lain.

Audit juga mendapati bahawa LTAT mempunyai 88 unit kondominium bernilai RM45 juta yang belum dijual walaupun telah siap pada tahun 2015. Selain itu, sejak tahun 2014, LTAT dikatakan terlalu bergantung pada Boustead Holdings Bhd dan anak syarikatnya yang tersenarai (Kumpulan BHB). Kebergantungan LTAT terhadap Kumpulan BHB meningkat hampir 50% daripada RM2.1 bilion kepada RM3.1 bilion.

Hakikatnya Dato ‘Seri Hishammuddin adalah Menteri Pertahanan dari tahun 2013 hingga 2018. Masalah ini menyumbang kepada prestasi kurang memberangsangkan yang sedang berlaku pada LTAT – semua ini berlaku ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan. Sepatutnya beliau tahu akan hal ini.

Apa yang beliau lakukan sepanjang menjadi Menteri Pertahanan?

Mengapa beliau tidak melakukan apa-apa untuk menangani masalah yang dihadapi oleh LTAT? Kini beliau cuba untuk menyalahkan orang lain kerana kegagalannya ketika menjadi Menteri Pertahanan.

Apa yang lebih membuatkan saya kesal adalah beliau cuba menggunakan nasib pelindung dan wira negara untuk memberikan perlindungan politik kepadanya. Ia tidak patut berlaku.

Beliau harus melihat tanggangjawabnya terhadap LTAT sebelum cuba menyalahkan penggantinya, Mohamad Sabu. Dalam tempoh beliau menjawat Menteri Pertahanan, mantan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sentiasa memberi amaran kepada orang ramai mengenai masalah yang dihadapi oleh LTAT.

Rafizi melakukannya dengan risiko yang besar. Ini termasuklah mendedahkan, dokumen yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), mengenai urusan kontroversi LTAT dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada bulan Mac 2016.

Fakta bahawa LTAT pada Mei 2018 telah menarik balik tuntutan undang-undang yang telah difailkan terhadap Rafizi adalah bukti bahawa kebimbangan yang beliau bangkitkan mengenai Lembaga Pengarah pada masa itu adalah wajar dan terbukti.

Pengurusan semasa LTAT mesti meneruskan pembaharuan yang telah dicadangkan serta bekerja rapat dengan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kesejahteraan anggota Angkatan Tentera.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Share This