Angkatan Muda Keadilan ingin menyatakan kekecewaan dengan tindak-tanduk pihak polis yang berterusan mengugut serta mengancam sesiapa sahaja yang melibatkan diri dengan Himpunan 1 Mei #KitaLawanGST minggu ini.

Pagi ini Maria Chin Abdullah telah dipanggil untuk siasatan. Mandeep Singh yang hadir sebagai penyokong pula telah ditahan pihak polis untuk disiasat berkaitan himpunan-himpunan sebelum ini. Rakyat bukannya tidak maklum pihak polis sebenarnya mahu menakut-nakutkan rakyat menjelang Himpunan 1 Mei.

Telah sedia maklum sebelum ini ratusan ahli politik, aktivis serta ahli akademik telah ditangkap, direman dan disiasat berkenaan pembabitan di dalam himpunan aman yang merupakan hak yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kini taktik kotor untuk mengugut sesiapa sahaja yang ingin membabitkan diri dengan perhimpunan aman bermula sekali lagi.

Tambahan pula, taktik ugutan ini juga dibuat di Sabah yang akan mengadakan himpunan besar 1 Mei anjuran Bersih Sabah. Pihak polis telah mengeluarkan amaran mendakwa sesiapa yang terbabit dalam himpunan ini. Penggunaan Akta Perhimpunan Aman, terutamanya Seksyen 9 (5), adalah melanggar undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan sepertimana yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Rayuan tahun lepas di dalam kes Nik Nazmi.

Walau apa pun ancaman yang dilakukan dan kekerasan yang digunakan, percayalah kami tidak akan putus asa dalam usaha untuk mengenengahkan suara keramat rakyat Malaysia yang mahukan perubahan dan penambahbaikan di dalam tadbir urus negara.

Kami akan teruskan dengan rancangan untuk berhimpun secara aman pada 1 Mei dan kami akan tetap dengan pendirian untuk menyatakan bantahan kami terhadap kerakusan kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri Najib Razak. Pihak polis mungkin boleh menahan seorang, puluhan orang atau ratusan orang tapi mustahil mereka dapat menangkap puluhan ribu rakyat Malaysia yang inginkan perubahan.

AMK juga menggesa pihak polis Kuala Lumpur agar tidak menggunakan taktik yang sama digunakan oleh pihak polis Sabah untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia untuk berhimpun pada 1 Mei akan datang.

#KitaLawan

Share This