Mengapa pembelian Mercedes dan pemberian ‘bonus’ kepada Exco menjadi isu panas di Kelantan? Ini buka sekadar isu politik.

Kerajaan Negeri Kelantan yang ditadbir PAS baru-baru ini membeli 14 kereta Mercedez-Benz. Kereta yang digunakan oleh Menteri Besar, Dato Bentara Kanan Haji Ahmad Bin Yakob berharga lebih dari RM600,000 di pasaran.

Kemudian ada juga laporan yang mengatakan Exco Kelantan menerima ‘bonus’ sebanyak RM50,000 seorang. Setakat ini, mereka tidak menafikan atau menjelaskan pemberian wang tersebut, mereka cuma berkata ia akan dibelanjakan untuk kebajikan rakyat.

Berbeza dengan penjawat awam negeri itu, mereka cuma akan menerima RM500 seperti yang telah diumumkan pada Januari 2020. Ini bonus tambahan selepas bonus RM500 diumumkan sebelum ini, menjadikan jumlah sebanyak RM1,000.

Pemegang jawatan ‘lantikan politik’ dari Kerajaan Negeri seperti penghulu dan guru agama akan diberikan RM250 seorang.

Tidak dinafikan Kelantan mempunyai keunikan dan potensi yang besar.

Selain dari dikenali sebagai negeri yang mempunyai pengaruh agama yang besar, dengan jolokan sebagai Serambi Mekah serta identiti Melayu yang kuat dan unik, ia tak menghalang untuk Kelantan membina struktur masyarakat yang pelbagai bangsa yang tersendiri. Masyarakat Cina, India dan Siam-Kelantan amat berbangga dengan negeri mereka.

Kebanyakan orang Kelantan, termasuk masyarakat bukan Islam, kagum dengan kepimpinan sederhana dan ikhlas dari bekas MB, Almarhum Tuan Guru Dato Bentara Setia Nik Aziz Nik Mat.

Rakyat Kelantan telah membuktikan kebolehan mereka, tidak kiralah dalam bidang awam atau korporat. Apa yang lebih penting, wanita di Kelantan secara tradisi berkecimpung dalam bidang perniagaan dan pelbagai bidang yang lainnya.

Cuma, kita tidak boleh nafikan ada cabaran besar di Kelantan berkaitan pembangunan dan ekonomi.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kelantan mempunyai purata 2.6% berbanding 4.7% di peringkat kebangsaan. Jika kita ambil kira faktor inflasi, ia memperlihatkan pembangunan ekonomi di negeri itu amat rendah.

Kelantan merupakan negeri termiskin di Semenanjung Malaysia. Kelantan mempunyai kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia, 11.6% berbanding 3% di peringkat nasional.

Kadar pengangguran di negeri itu adalah 4% berbanding 3.3% di peringkat nasional. Untuk kadar pengangguran orang muda pula, Kelantan di paras 9.7% berbanding 7.3% di peringkat nasional.

Pendapatan penengah di Kelantan adalah RM3,079 berbanding RM6,958 di peringkat nasional – ia kadar gaji penengah terendah, lebih rendah berbanding Sabah dan Sarawak. Jika didefinisikan kelompok B40 sebagai mereka yang mempunyai pendapatan penengah kurang dari RM3,000 – 90% rakyat di Kelantan termasuk dalam kumpulan itu.

Pendukung PAS kerap menyatakan ia berlaku kerana Kerajaan Kelantan dianaktirikan UMNO Barisan Nasional sejak mereka memenangi Kelantan pada tahun 1990.

Walaupun hujah ini ada kebenarannya, namun zaman sudah berubah. Pakatan Harapan bukanlah BN.

Walaupun kesengsaraan ini terpaksa di hadapi oleh rakyat Kelantan kerana persengketaan politik di antara PAS dan UMNO, ia turut berpunca dari tindakan dan kegagalan dasar PAS sendiri.

Sejak menjadi Kerajaan Persekutuan, Pakatan Harapan banyak membantu PAS dalam mentadbir Kelantan. Pada tahun 2019, Kelantan menamatkan saman mereka terhadap Kerajaan Persekutuan berhubung isu royalti minyak.

Tidak kiralah ia ingin dipanggil ‘bayaran royalti’ atau ‘wang ihsan’ – sebanyak RM15.7 juta telah dibayar Kerajaan Persekutuan kepada Kelantan tahun lepas.

Kelantan juga menerima pendahuluan RM100 juta dalam bentuk pinjaman dari Kerajaan Persekutuan untuk pembayaran kos operasi termasuk gaji kakitangan Kerajaan Negeri.

Pembayaran ‘one-off’ sebanyak RM400 juta turut diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kelantan tahun lepas. Semasa pembentangan Belanjawan 2020, Kelantan diberikan RM1.5 bilion untuk tujuan pembangunan.
PAS tidak boleh menyalahkan halangan politik lagi. Jika ‘Muafakat Nasional’ dengan UMNO benar-benar diamalkan, mereka memiliki majoriti yang amat besar di Kelantan dan Terengganu.

Tapi apa sebenarnya yang dilakukan PAS untuk menggunakan senario politik yang lebih baik ini? Ke manakah jumlah wang yang besar yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan itu digunakan?

Ya, Kerajaan Negeri menyatakan mereka akan menggunakan RM400 juta itu untuk pembinaan rumah mampu milik dan air bersih.

Cuma, pembelian kereta rasmi mewah dan pemberian bonus Exco bercanggah dengan keadaan ekonomi yang berlaku di Kelantan.

Sebagaimana mana-mana kerajaan, mereka membelanjakan wang itu sebagai amanah daripada rakyat.
Rakyat berhak bertanya – adakah wang itu telah digunakan dengan baik?

Berkaitan isu pembelian kereta Mercedes, tiada siapa menyatakan MB dan Exco perlu menggunakan Perodua Viva sebagaimana diulas Timbalan MB Dato’ Nik Amar Nik Abdullah.

Namun kita perlu bandingkan dengan kerajaan-kerajaan negeri yang lain.

Kereta Mercedes E300 class (2018) yang digunakan oleh Menteri Besar Terengganu PAS bernilai RM350,000 di pasaran. Terengganu memiliki lebih banyak sumber – memandang ia memiliki sumber minyak dan gas yang besar.

Di Negeri Sembilan (Pakatan Harapan) dan Perlis (BN), mereka menggunakan Honda Accord 2.4 (2013) bernilai RM170,000 sewaktu pembelian. Dua lagi negeri di bawah Pakatan Harapan – Perak dan negeri termaju di Malaysia, Selangor menggunakan Toyota Camry 2.5 (2018) bernilai RM190,000.

Sekalipun kita menerima angka RM250,000-300,000 dari Pemuda Pas, Kelantan masih berbelanja lebih banyak berbanding negeri yang saya sebutkan tadi.

Semua kerajaan negeri boleh memohon pengecualian cukai duti dan eksais, menyebabkan mereka juga boleh membeli kereta di bawah harga pasaran.

Nampaknya Kerajaan Kelantan cukup pantang dengan amalan kerajaan yang telus.
Nik Amar berkata wakil rakyat Kelantan lebih selesa untuk mengisytiharkan harta mereka secara terus kepada SPRM berbanding mengisytiharkannya secara terbuka.

Beliau juga memberitahu ahli Exco akan melapor harta mereka secara terus kepada MB.

Perkara ini menjadi amalan dalam pemerintahan di bawah BN, ia menyebabkan tanggapan korupsi dan penyalahgunaan kuasa tak dapat dikawal. Kesemua 18 Ahli Parlimen PAS enggan mengisytiharkan harta mereka secara terbuka sekalipun dimininta oleh Parlimen.

Namun dalam Muktamar PAS pada tahun 2012, Presiden PAS Dato Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka menerima usul dari Pemuda PAS untuk calon pilihan raya mengisytiharkan harta, untuk mengelakkan salahguna yang berlaku pada pemimpin UMNO.

Exco PAS di Selangor dari 2008-2018 mengisytiharkan harta secara terbuka sebagaimana diarahkan Kerajaan Negeri.

Ahli dan pengundi PAS, terutamanya di Kelantan, mempunyai hak untuk bertanya sikap pemimpin mereka. Bantuan yang munasabah telah pun diberikan kepada mereka, tapi prestasi Kelantan masih jauh di belakang.

Sekali lagi kita bertanya: Apa yang telah dilakukan oleh PAS dengan kedudukan lebih baik selepas PRU14?
Apa perancangan mereka untuk masa hadapan Kelantan?

Mereka terus memainkan isu Pakatan Harapan gagal memenuhi janji manifesto, tanpa menghiraukan prestasi mereka sendiri. Tidak lama selepas PRU14, Presiden PAS meminta rakyat Kelantan dan Terengganu bersabar untuk pelaksanaan manifesto mereka.

PAS terus bermain politik, termasuklah ‘undi percaya’ dan merosakkan kehamornian negara dengan politik asabiyyah.

Adakah mereka telah melakukan yang terbaik untuk rakyat Kelantan?

Bolehkah mereka dipercayai untuk mentadbir negeri lain, atau Kerajaan Persekutuan.

Yang jelasnya dua perkara: Angka tidak menipu. Ahli politik yang memegang kuasa perlu bertanggungjawab terhadap amanah yang telah diberikan kepada mereka.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Share This