Minggu lepas pertemuan pertama Jawatankuasa Terpilih Khas Bajet (Special Select Committee on Budget) Parlimen Malaysia yang dipengurusikan Mustapa Mohamed (PH-Bersatu, Jeli)

Saya menganggotainya bersama-sama Dr. Tan Yee Kew (PH-KEADILAN, Wangsa Maju), Khoo Poay Tiong (PH-DAP, Kota Melaka), Kelvin Yii Lee Wuen (PH-DAP, Bandar Kuching), Khairy Jamaluddin (BN-UMNO, Rembau) dan Alexander Nanta Linggi (GPS-PBB, Kapit)

Ini adalah sebahagian dari enam Jawatankuasa Terpilih Khas Parlimen yang ditubuhkan selaras dengan komitmen manifesto Pakatan Harapan dan amalan demokrasi-demokrasi matang seperti di United Kingdom dan Australia.

Menerusi Jawatankuasa-Jawatankuasa ini, Ahli-Ahli Parlimen mempunyai lebih masa meneliti perundangan dan memantau eksekutif serta bekerjasama rentas parti yang kadangkala sukar dicapai di persidangan utama Parlimen.

Ketika Pakatan Rakyat mula memegang tampuk di Selangor termasuk ketika saya menjadi Timbalan Speaker DUN Selangor, kami memperkenalkan perubahan sama untuk memperkasakan DUN Selangor.

Share This