Soalan:

Nik Nazmi Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta Menteri Hal Ehwal Ekonomi menyatakan apakah perancangan Jabatan Perangkaan Malaysia untuk menyediakan data mikro di laman webnya dan menambah baik pangkalan data awamnya.

Jawapan:

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) adalah agensi statistik utama negara yang bertanggungjawab memungut, mentafsir serta menyebar perangkaan yang bertepatan masa dan terkini untuk memantau prestasi ekonomi dan juga pembangunan sosial negara berdasarkan mandate daripada Akta Perangkaan 1965 (Disemak-1989).

2. Dalam memastikan statistik yang diterbitkan dapat dimanfaatkan oleh masyarakat umum, pihak DOSM telah meningkatkan kebolehcapaian statistik melalui Stats Aler di media sosial; dan menyediakan pelbagai kemudahan di laman web Jabatan antaranya:

i. aplikasi e-statistik bagi memudahkan pengguna mengakses penerbitan secara percuma;
ii. aplikasi interaktif antaranya pejanaan data penduduk sehingga peringkat daerah melalui Population Quick Info;
iii. penjanaan data borong & runcit hingga peringkat daerah melalui aplikasi i-DT;
iv. METS Online bagi penjanaan dan perdagangan luar negeri sehingga 10 digit; dan
v. Mendapatkan statistic di peringkat daerah melaui aplikasi mobile My Local Stats.

3. DOSM sedar akan keperluan analisis yang lebih terperinci memerlukan data di peringkat mikro selaras dengan peningkatan permintaan data mikro dari pelbagai peringkat pengguna. Bagi memenuhi permintaan ini, DOSM sentiasa menyesuaikan kaedah terbaik dalam pengurusan data mikro dengan menekankan penjagaan kerahsiaan maklumat responden di samping memenuhi keperluan pengguna. Maka, Dasar Penyebaran Data Mikro DOSM telah diwujudkan untuk kawalan dalaman sebagai panduan pembekalan data mikro kepada pengguna.

4. Perkongsian data mikro ini perlu diuruskan dengan teliti dan dipantau penggunaannya selaras dengan amalan National Statistical Office (NSO) negara-negara lain. Dasar Penyebaran Data Mikro terpakai untuk semua pengguna data mikro selagi syarat dan prosedur yang ditetapkan dalam dasar ini dipatuhi. Untuk menggalakkan penggunaan data mikro dalam aktiviti saintifik yang lebih meluas, DOSM telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan 19 buah university di Malaysia untuk dibekalkan data mikro melalui proses anonymisation. Berdasarkan rekod DOSM, dari tahun 2015 sehingga September 2019 sebantak 69 permohonan data mikro telah diterima daripada pelbagai pengguna data mikro dan sebanyak 44 permohonan telah diluluskan dan telah menandatangani Non-Disclosure Agreement (NDA).

5. Pelaksanaan transformasi perkhidmatan penyebaran data mikro adalah satu daripada inisiatif modenisasi yang telah dirangka dalam Pelan Transformasi Jabatan 2015-2020. Justeru itu, DOSM telah mengambil inisiatif untuk memudahkan Pengguna mengakses data mikro terpilih dengan membangunkan platform virtual lab yang dijangka siap pada akhir tahun 2020. Namun begitu, DOSM sentiasa berkongsi data mikro apabila diperlukan dengan memohon secara langsung kepada DOSM untuk pertimbangan lanjut.

Sekian, terima kasih.

Share This