Soalan:

Nik Nazmi Nik Ahmad [ Setiawangsa ] minta Perdana Menteri menyatakan:-

(a) adakah Kerajaan bercadang mewajibkan pengisytiharan harta kepada semua Ahli Parlimen, bukan dalam kalangan Pakatan Harapan sahaja; dan

(b) adakah Kerajaan bercadang supaya maklumat pengisytiharan harta diletakkan di portal SPRM sepanjang penggal Parlimen, bukan tiga bulan sahaja.

Jawapan oleh YB Tuan Mohamed Hanipa Bin Maidin
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri

Tuan Yang Di-Pertua,

(a) Pengisytiharan harta merupakan salah satu komponen dalam Kod Etika Bagi Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen. Setakat ini pengisytiharan harta adalah diwajibkan kepada semua anggota pentadbiran dan semua ahli parlimen Kerajaan. Memandangkan bahawa pengisytiharan harta ini merupakan salah satu daripada prinsip ketelusan yang sentiasa diamalkan oleh Kerajaan maka terdapat cadangan untuk turut merangkumkan amalan prinsip tersebut kepada semua ahli parlimen. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan sedang mengkaji mekanisme terbaik bagi membolehkan pengisytiharan harta dilaksanakan oleh semua anggota parlimen.

(b) Pada masa ini maklumat pengisytiharan harta bagi anggota pentadbiran dan ahli parlimen Kerajaan hanya dipaparkan selama 3 bulan sahaja di portal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari tarikh dokumen pengisytiharan harta tersebut diterima oleh SPRM. Apa-apa keperluan untuk melanjutkan tempoh masa paparan maklumat tersebut akan dibuat berdasarkan kajian dan semakan yang dijalankan oleh Kerajaan daripada semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

Share This