Soalan:
Nik Nazmi bin Nik Ahmad [Setiawangsa] minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan apakah status Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP):
a) Mencapai sasaran awal pada tahun 2020 melalui 500,000 pelatih, 320 Pusat Latihan, dan 2000 jurulatih; dan
b) Adakah peruntukan untuk NFDP dikekalkan atau dikurangkan.

Jawapan:
Tuan Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) telah melakukan penstrukturan semula Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) bermula bulan November 2018 bertujuan memberi penambahbaikan bagi kelangsungan program ini.
2. Sasaran awal Program PPBN adalah sebanyak 51,125pelatih di 320 pusat latihan dengan kendalian 2,472 jurulatih sepenuh dan separuh masa menjelang tahun 2020. Sehingga kini, program PPBN ini mempunyai sejumlah 11,992 orang pemain bola sepak yang sedang menjalani latihan sepenuh masa dan separa masa di bawah pengawasan 610 jurulatih di:
(a) 46 Pusat Latihan Akademi Tunas
(b) 48 Pusat Latihan Daerah
(c) 14 Sekolah Sukan Negeri
(d) 3 Sekolah Sukan Malaysia dan
(e) Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD)
3. Jumlah pusat, atlet dan jurulatih sedia ada ini dilihat tersasar daripada unjuran serta sasaran awal yang telah ditetapkan oleh pengurusan PPBN sebelum ini. Namun, pihak Kementerian akan meneruskan usaha menambah bilangan pusat-pusat latihan ini melalui cadangan daripada Ketua Jurulatih Negeri yang dilantik. Proses penambahan pusat-pusat latihan di pelbagai peringkat seperti di daerah dan negeri akan dilakukan dari masa ke semasa berdasarkan kepada prestasi serta keupayaan pusat-pusat latihan tersebut untuk beroperasi sepenuhnya.
4. Kerajaan telah pun memperuntukkan sebanyak RM15 juta kepada program ini pada tahun 2019, manakala pihak KBS melalui MSN telah membelanjakan sejumlah RM23 juta pada tahun 2018. Walaupun peruntukan kewangan tahun ini berkurangan dari tahun sebelumnya, ianya tidak akan merencatkan pembangunan sukan ini seperti yang telah dirancang. Ini kerana pihak Kementerian sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa buah syarikat yang berminat untuk menaja sebahagian daripada program ini.
5. Penstrukturan semula Program Pembangunan Bola Sepak Negara tahun 2019-2025 telah disediakan dengan beberapa penambahbaikan seperti memperkemas struktur kejurulatihan, memperkukuhkan kerjasama bersama pemegang taruh, memperkenalkan skim gaji yang lebih berstruktur dan modul pendidikan persendirian di Akademi Mokhtar Dahari (AMD). Menjelang tahun 2025, PPBN disasarkan untuk mempunyai 500 pusat latihan, 85, 735 pemain dan 3,945 jurulatih.
6. PPBN merupakan satu usaha jangka masa panjang Kerajaan dalam membangunkan sukan bola sepak di Malaysia. Komitmen Kerajaan dalam melaksanakan program ini amatlah tinggi dan berhasrat untuk mengembalikan semula kegemilangan sukan bola sepak negara seperti dahulu.
Sekian, terima kasih.
Kementerian Belia dan Sukan
Julai 2019

Share This