Ketika Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan pimpinan KEADILAN.

Anwar menyebutkan beliau mungkin sudah menjadi PM dengan syarat beliau sanggup tinggalkan sekutu di dalam Pakatan Harapan dan menerima kesemua pemimpin dari UMNO, termasuklah mereka yang mempunyai tuduhan rasuah Mahkamah.

Tetapi beliau enggan menggadaikan mandat rakyat semata-mata ingin mendapatkan jawatan PM.

Krisis politik ini terjadi akibat sekumpulan individu yang gilakan kuasa dan khianat kepada mandat yang telah diberikan rakyat pada PRU14.

Sejarah akan mengingati kumpulan ini sebagai peragut demokrasi dan sanggup melakukan apa sahaja – termasuk menipu – untuk mendapatkan kuasa.

Krisis ini bermula pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 21 Februari 2020. Dalam mesyuarat itu – isu peralihan kuasa dari Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar dibincangkan. Ketika mesyuarat berlangsung, Azmin Ali berharap supaya Pakatan Harapan berpecah kerana isu peralihan kuasa.

Keadaan ini berjaya dikawal dan ditenangkan. Anwar meminta Mahathir tentukan tarikh peralihan, yang mana Mahathir sebutkan sejurus selepas APEC November 2020.

Pada sidang media selepas mesyuarat ini, Azmin tidak hadir. Dalam sidang media itu, Anwar ulangi kesediaannya untuk memberi ruang kepada Dr Mahathir. Mahathir turut menyatakan ia akan berlaku selepas APEC, cuma tidak ada tarikh atau masa.

Pada 23 Februari, BERSATU mengadakan mesyuarat untuk menentukan hala tuju parti mereka. Dalam mesyuarat itu, Muhyiddin mengusulkan cadangan untuk bekerjasama dengan UMNO secara keseluruhan.

Beliau berhasrat untuk menerima semua pimpinan UMNO, termasuklah mereka yang dituduh puluhan kes rasuah seperti Najib Razak, Zahid Hamidi, dan lain-lain lagi.

Tindakan ini tidak dipersetujui oleh Mahathir, beliau beranggapan UMNO tidak boleh diterima secara blok, lebih-lebih lagi dengan kehadiran individu yang terkenal dengan tuduhan-tuduhan rasuah.

Pasukan Azmin pula memberitahu semua parti setuju dengan langkah BERSATU yang ingin bekerjasama dengan UMNO dan PAS. Ketika inilah Azmin menjemput pimpinan politik dari UMNO, PAS dan BERSATU untuk ke istana dan makan malam di Hotel Sheraton. Makan malam 23 Februari ini sepatutnya bagi meraikan pembentukan kerajaan baharu.

Melihat situasi semakin kritikal, pada pagi 24 Februari – pimpinan utama Pakatan Harapan segera bertemu Dr Mahathir. Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng cuba untuk memujuk Mahathir.

Setelah perbincangan ini berlangsung, Dr Mahathir memutuskan untuk meletakkan jawatan kerana tidak mahu bekerjasama dengan individu terpalit dengan rasuah. Tidak lama selepas BERSATU mengumumkan mereka keluar dari Pakatan Harapan. Mahathir dilantik menjadi PM interim.

Pada malam hari, Majlis Presiden Harapan mengadakan mesyuarat tergempar. Pimpinan menjemput Dr Mahathir untuk mempengerusikan mesyuarat tersebut, tapi beliau menolak.

Pimpinan sebulat suara untuk mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri. Ia sesuai dengan muafakat Pakatan Harapan, dan mandat yang telah diberikan oleh rakyat.

Kemudian timbul idea untuk mewujudkan kerajaan perpaduan (kerajaan tanpa parti), Pakatan Harapan menentang idea ini kerana ia bercanggah dengan tonggak Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Pada 28 Februari, apabila Dr Mahathir sudi untuk bergabung semula dengan Pakatan Harapan, Anwar Ibarahim memberi ruang untuk Dr Mahathir dicalonkan sebagai Perdana Menteri semula. Ia konsisten dengan pendirian Anwar sebelum ini, untuk beri ruang kepada Dr Mahathir.

Krisis politik ini menyedihkan, terutamanya ketika kita menyaksikan ada ahli politik di negara ini yang tidak mempunyai pendirian dan menghargai mandat rakyat yang diraih melalui pilihan raya.

Sudah tentu ramai generasi muda yang muak dan jijik dengan permainan politik yang mereka saksikan.

Dalam musibah yang menimpa, sudah tentu ada pengajaran yang boleh kita ambil. Melalui krisis ini, kita dapat mengenali siapa kawan dan lawan. Paling penting mata rakyat boleh menentukan sendiri, siapa yang setia dan khianat kepada mandat rakyat.

Mereka yang setia pada perjuangan tidak gundah gulana. Ketika majlis zikir mingguan di rumah Anwar, beliau dengan tenang menyatakan beliau boleh tidur dengan lena dan makan dengan berselera. Ini berbeza orang berprinsip dan ada pendirian. Hikmah insiden ini, kita saksikan proses pembersihan parti.

Share This