Pada hari pencalonan untuk Pemilihan Parti Keadilan Rakyat peringkat pusat semalam, Anwar Ibrahim telah menghantar borangnya untuk jawatan Presiden.

Presiden KEADILAN sedia ada, Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi penyokong pencalonan Anwar.

Kak Wan menjadi Presiden parti sejak hari penubuhannya pada 1999. Sebelum itu beliau memimpin Gerakan ADIL pada era Reformasi.

Beliau memulakan kerjaya politiknya sebagai ahli politik yang tidak sengaja – accidental politician.

Meskipun ramai turun ke jalan raya ketika itu, KEADILAN hanya memenangi 5 kerusi Parlimen termasuk kerusi tradisi Anwar, Permatang Pauh yang diambil alih oleh Kak Wan.

KEADILAN dilihat hanya memperjuangkan pembebasan Anwar dan adalah parti nyamuk yang akan mengalami nasib sama seperti Semangat 46.

Pada 2001, ketika saya mula membantu parti saya diperkenalkan kepada Kak Wan untuk memberi input kepada ucapan-ucapannya di Parlimen. Saya kagum dengan ketegasan disebalik kelembutannya.

Ramalan muram tentang KEADILAN dilihat semakin benar apabila Permatang Pauh menjadi satu-satunya kerusi Parlimen yang dimenangi parti pada PRU 2004.

Namun selepas pembebasan Anwar, KEADILAN bangkit dan memenangi 31 kerusi Parlimen pada 2008. Kak Wan menjadi Ketua Pembangkang wanita pertama negara, tetapi memberi laluan kepada Anwar di Permatang Pauh pada tahun sama.

Pada 2015, sekali lagi Anwar dipenjarakan. Kak Wan sekali lagi memainkan peranan besar.

Antara peranan terbesar – mungkin yang ramai tidak sedar – adalah ketika beliau memimpin perbincangan antara KEADILAN, DAP dan NGO-NGO untuk membentuk Pakatan Harapan menggantikan Pakatan Rakyat. Ramai yang hadir – termasuk dari KEADILAN – tidak setuju meminggirkan PAS. Tetapi beliau bertegas bahawa gabungan pembangkang yang bersatu-padu itu penting.

Pada awal pagi 10 Mei, beliau ke Istana untuk memaklumkan Pakatan Harapan mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan. Beliau tidak ingkar kepada perjanjian dan tegas mencalonkan Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri meskipun KEADILAN adalah parti terbesar dengan 50 ahli parlimen.

Dalam Malaysia baru, Kak Wan sekali lagi mencipta sejarah sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama Malaysia.

Terima kasih Kak Wan. Hasil sumbangan Kak Wan, KEADILAN yang masih muda menjadi parti pelbagai kaum nasional paling berjaya dalam sejarah Malaysia, yang meletakkan anak muda dan wanita di hadapan barisan kepimpinan!

Share This