Dalam kekalutan kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan, mungkin ramai terlepas pandang tempoh khidmat Timbalan Perdana Menteri wanita pertama kita, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga tamat.

Ramai mungkin pernah mendengar kisah bagaimana selepas Pakatan Harapan menang dan Kak Wan dipanggil menghadap Yang Dipertuan Agong, sekalipun sebagai presiden parti terbesar ketika itu, beliau menolak untuk menjadi PM dan menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad kerana berpegang pada muafakat Pakatan Harapan.

Sebenarnya perjalanan perjuangan politik Kak Wan, dari mula zaman Reformasi, sehingga menjadi Ketua Pembangkang wanita pertama, pemain penting pembentukan Pakatan Harapan dan akhirnya TPM wanita pertama penuh cerita menarik yang lain.

Sebagai ‘reluctant politician’, ramai pandang rendah beliau. Tetapi kekuatannya ialah jiwanya yang warak, kesetiaan tak berbelah bahagi kepada suami Datuk Seri Anwar Ibrahim dan semangatnya yang kental. Jangan sangka wanita bersarung tangan ini tidak mampu melawan.

Pada September 2015, selepas beristikharah dalam mesyuarat bersama KEADILAN, DAP, AMANAH dan masyarakat sivil, Kak Wan bertegas meyakinkan yang lain keperluan pembentukan Pakatan Harapan walaupun ada bantahan.

Ada di kalangan masyarakat sivil dan penyokong Datuk Seri Azmin Ali dalam KEADILAN yang tidak mahu tinggalkan PAS kerana dirasakan mustahil akan menang kuasa Persekutuan tanpa PAS (atau mungkin lebih dekat lagi, pasti kehilangan Selangor).

Selepas itu, 25 anggota Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN (pro Azmin) meminta pembentukan Pakatan Harapan dinilai semula – satu cubaan mencabar kedudukan Kak Wan sebagai Presiden parti.

Tapi sebelum mengakhiri mesyuarat, Kak Wan meminta MPP beri mandat kepada dirinya untuk buat keputusan, dan MPP bersetuju dan mesyuarat tamat dengan tepukan gemuruh. Kak Wan pun dapat mandat untuk teruskan Pakatan Harapan.

Sebagai Timbalan Perdana Menteri, Kak Wan mempengerusikan beberapa Jawatankuasa peringkat tinggi. Ini termasuk ‘High Level Committee’ Covid-19 yang telah mengumpulkan Kementerian Kesihatan di bawah Dr Dzulkefli Ahmad dan Dr Lee Boon Chye serta kementerian dan agensi lain bagi menangani wabak Covid-19.

Memegang portfolio Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kak Wan telah mencapai beberapa kejayaan penting, termasuk:

a) Polisi i-Suri yang dijanjikan dalam Buku Harapan menyaksikan lebih 116,000 didaftarkan
b) Pembangunan system semakan pesalah jenayah seksual kanak-kanak. Hampir 3,000 semakan telah dibuat antara April – November 2019
c) Penambahan 50 taska di bangunan kerajaan pada 2019 dan 150 taska pada tahun 2020 . Kini sebanyak 241 taska beroperasi di bangunan kerajaan
d) Pelantikan pesuruhjaya kanak-kanak dibawah SUHAKAM

Terima kasih Kak Wan.

Share This