Media melaporkan keputusan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk mengurangkan atau memansuhkan terus Bantuan Sara Hidup [BSH – dulu dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)].

Kegusaran pasti dirasai oleh ramai penerima BSH yang lain. Pemberian wang sudah menjadi bantuan hayat bagi kebanyakan mereka.

Tak dinafikan sistem BSH perlu diteliti semula agar ia menepati matlamat untuk mengurangkan jurang pendapatan dalam masyarakat dan membolehkan penerima berdiri di atas kaki sendiri.

Bilangan ramai rakyat yang mengharapkan bantuan itu antara kegagalan kerajaan Najib Razak.

Walaubagaimanapun, sebarang keputusan harus dibuat dengan persetujuan kesemua parti Pakatan Harapan dan Kabinet Kerajaan — terutamanya kerana manifesto Pakatan Harapan telah menjanjikan bahawa BR1M akan dikekalkan untuk golongan B40.

Sebarang perubahan juga mesti memastikan bahawa penerima tidak terkesan sehingga menjadi lebih susah. Walau apa pun yang dinyatakan, sebarang perancangan juga perlu mengambil kira terutamanya penerima yang tidak mampu bekerja sama ada kerana faktor umur atau kecacatan fizikal/mental.

Perancangan ini mestilah dibuat dengan telus dan informasi hendaklah disampaikan kepada rakyat dengan jelas untuk mengelakkan daripada berlaku sebarang salah faham.

Perlu juga dijelaskan di sini bahawa sebarang bantuan dalam bentuk pemindahan wang adalah tidak salah, terutamanya jika disyaratkan kepada sesuatu yang positif, seperti meletakkan syarat bahawa anak-anak penerima diberi imunisasi dahulu, atau sebarang syarat berkenaan pendidikan dan latihan.

Kejayaan bantuan sebegini telah dibuktikan di negara lain seperti program Prospera di Mexico dan Bolsa Familia di Brazil, kedua-duanya mendapat pujian serata dunia dengan kajian mendapati ia berjaya meningkatkan keadaan kesihatan, perolehan pendidikan, mobiliti sosial seperti memberi kesan positif kepada pasaran kerja dan ekonomi rumahtangga.

Juga tidak boleh dinafikan bahawa bantuan yang membina lebih baik daripada yang cuma memberi. Tetapi ada juga segilintir golongan masyarakat yang amat memerlukan bantuan dan perkara ini tidak boleh diperkecilkan.

Pakatan Harapan tidak boleh membuat kesilapan dalam hal ini, sejarah akan menilai kita.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA PEMUDA HARAPAN
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA

Share This