Baru-baru ini saya berkesempatan menziarahi satu keluarga di Setiawangsa. Mereka tinggal di flat di kawasan PPR, saiz 750 kaki persegi. 16 orang menjadikan flat tersebut sebagai tempat tinggal. Mereka yang tinggal dari ibu, bapa, anak dan cucu.

Ketua keluarga – saya panggil di sini Pak Dollah – memohon maaf kepada rombongan kami yang duduk di lantai kerana di sinilah sebahagian besar anak dan cucu tidur di malam hari, jadi mereka kosongkan saja ruang tamunya.

Beliau bekerja di sebuah hotel berprestij, setia berkhidmat di sana sejak hujung tahun 1980an. Dahulu, beliau boleh membawa pulang jumlah gaji dan elaun sebanyak RM3,000. Selepas PKP dan industri perhotelan merudum, beliau cuma menerima gaji pokok RM1,300. Itu pun nasib baik ada kerja.

“Alhamdulillah, ‘union’ hotel kami kuat. Susah nak kena buang kerja.”

Dollah cuba menjual sedikit-sebanyak kuih secara kecil-kecilan selepas PKP. Bolehlah dapat dalam RM20 sehari.

Isterinya cuba bekerja tetapi pada usia lanjut sukar mendapat pekerjaan. Salah seorang anaknya ditinggal suami dan bekerja di sebuah farmasi berhampiran. Seorang lagi anak belajar di kolej, jurusan pendidikan awal kanak-kanak. Tetapi anak-anak lelaki susah sikit untuk minat belajar selepas SPM katanya.

Mereka mengadu harga ayam sudah meningkat. Ikan dah memang jarang dapat makan. Baru-baru ini Dollah bergaduh dengan pembaca meter TNB apabila melihat tunggakan besar pada bilnya. Akhirnya bekalan elektrik masih ada dengan beliau membayar beransur-ansur.

Satu lagi cerita yang menyentuh hati saya adalah cerita hamba Allah yang saya panggil Pak Mat. Beliau datang ke Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Setiawangsa untuk meminta bantuan.

Umur Pak Mat sudah hampir 70 tahun. Beliau pernah kena strok. Tetapi kerana terpaksa menyara kehidupan keluarga, beliau menyertai program sewa beli teksi – tak lama sebelum PKP. Setiap hari – kerja atau tidak – beliau kena bayar RM26 untuk teksinya. Kalau dia kerja 12 jam – 8 pagi sampai 8 malam – beliau bolehlah dapat RM60. Tetapi dengan umur dan kesihatannya ini menjadi semakin sukar, tambah pula beban ketika PKP.

Beliau meminta bantuan kerana seorang anaknya mendapat tawaran sebuah kolej kerajaan di Pantai Timur. Kos untuk keluarga menghantar anak ke sana satu beban untuk mereka. Seorang anaknya belajar kolej di Kuala Lumpur. Apabila pembelajaran dibuat secara maya, anaknya mengadu kata susah menggunakan telefon bimbit yang tidak canggih dan meminta komputer riba.

Seorang lagi anak sudahpun ada diploma, tetapi terpaksa membuat kerja biasa yang tidak memerlukan kelulusan kerana kekurangan peluang kerja setara. Ini antara masalah ‘underemployment’ yang kurang diberi perhatian berbanding ‘unemployment’ (pengangguran).

“Saya cukup tertekan,” luah Pak Mat dengan penuh sayu.

Ramai lagi Pak Dollah dan Pak Mat – tak lupa Maniam dan Ah Chong – yang ada di Kuala Lumpur. Anggapan tidak ramai bukan Melayu yang miskin juga tidak betul. Di Setiawangsa ada kawasan Kampung Baru Air Panas malah di hampir kesemua PPR mempunyai kelompok bukan Melayu yang besar. Tetapi saya ingin fokus tentang isu miskin kota Melayu yang memberi kesan besar kepada politik negara.

Sebahagian besar mereka mungkin ada kerja – gaji minima malah mungkin mencecah RM3,000 sebulan yang mungkin dilihat agak selesa di kampung. Tetapi dengan kos sara hidup yang tinggi dan tanpa rangkaian keluarga yang luas dan sistem sokongan yang lebih baik di desa, pendapatan RM3,000 pun cukup makan saja.

Inilah yang dipanggil miskin kota. Saya masih ingat wakil rakyat UMNO dan PAS (yang banyak mewakili luar bandar) meremehkan isu miskin kota dan lebih selesa untuk tumpu pada miskin desa.

Miskin kota ini majoriti Melayu, tetapi merentas semua rakyat Malaysia. Ramai masih menganggap majoriti orang Melayu tinggal di desa sebagaimana realitinya pada zaman penjajah dahulu. Ini menjadi naratif penggubalan DEB, tetapi bayangannya kekal ke hari ini meskipun situasi sudah banyak berubah (sebahagiannya kerana kejayaan DEB juga).

Pada 1970, hanya 15.5 peratus penduduk kawasan bandar di Semenanjung Malaysia terdiri dari orang Melayu. Pada 2016, 68 peratus masyarakat Bumiputera menetap di bandar. Di kalangan penduduk di bandar, masyarakat Bumiputera merupakan 56 peratus.

Bapa saya, seorang pegawai kanan kerajaan yang terlibat langsung dalam pelaksanaan DEB, mengatakan bahawa ketika pelaksanaan dasar tersebut, kerajaan secara langsung dan tidak langsung menggalakkan penghijrahan orang Melayu ke bandar. Penempatan ‘setinggan’ oleh peneroka bandar tumbuh bagaikan cendawan di kota-kota. Pertumbuhan ekonomi yang pesat membuka peluang pekerjaan baru, dan kerajaan merasakan dengan ditambah pula kemudahan pendidikan dan kesihatan yang lebih baik di bandar proses penghijrahan ini perlu dibuka seluas-luasnya. Saiz kawasan bandar di seluruh negara juga menjadi semakin luas.

Wakil-wakil rakyat kerajaan dan pembangkang menjadi juara isu peneroka bandar yang semakin ramai. Datuk Idris Ibrahim, Ahli Parlimen Setapak (1974-1982) digelar Raja Setinggan kerana mempertahankan peneroka bandar.

Dalam Belanjawan 1995, Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Program Perumahan Rakyat secara besar-besaran dengan peruntukan RM2.6 bilion ketika itu (hari ini RM4.74 bilion). Tumpuan diberikan kepada Gombak, Wangsa Maju, Ampang dan Kerinchi. 58,200 buah rumah diluluskan untuk pembinaan.

Bermula tahun 1998 kerajaan memulakan perobohan perumahan peneroka bandar secara besar-besaran. Dua tahun kemudian, Dasar Setinggan Sifar dilancarkan – dengan hasrat selesai pada tahun 2005. Walaupun tidak sifar sepenuhnya pada tahun itu, perubahan ketara memang berlaku.

Tetapi ‘Setinggan Sifar’ tidak menyelesaikan sepenuhnya isu kemiskinan bandar. Tanpa pengembangan agresif perumahan rakyat, gaji yang lebih baik dan kos sara hidup yang tinggi, isu kemiskinan bandar merupakan cabaran besar – malah mungkin lebih besar dari kemiskinan desa – pada hari ini.

Pada awal 1990an, ramai teman-teman dari Kampung Baiduri dan Kampung Medan yang bersekolah bersama saya di La Salle Petaling Jaya. Tetapi hanya apabila saya aktif di KEADILAN Kelana Jaya pada tahun 2005 dan memulakan kerja di akar umbi di flat-flat di Desa Mentari, Desaria, Kampung Lindungan dan Desa Hormat saya melihat secara dekat kehidupan mereka yang kini tinggal di flat.

Ketika dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksanakan. Saya melihat sendiri kesukaran pelajar-pelajar sekolah rendah di peringkat paling asas mengikuti kelas. Ibu bapa ramai yang sukar membantu kerja-kerja rumah asas yang diberikan guru. Malah ada guru yang sukar mengajar matapelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Menerusi Projek Mentari, program tuisyen sukarelawan yang diasaskan di sana, selain kelas pembelajaran biasa, kami mengadakan rombongan ke Petrosains, Kidzania dan lain-lain destinasi yang mungkin diambil mudah oleh keluarga kelas menengah di Lembah Klang. Ini sesuatu yang ‘jauh’ untuk dicapai warga miskin kota. Malah ada di kalangan mereka tidak pernah menjejakkan kaki pun di KLCC walaupun tinggal di Petaling Jaya.

Dua tahun lepas, kita dikejutkan dengan laporan UNICEF tentang kemiskinan bandar dan kekurangan zat di kalangan kanak-kanak di KL yang lebih tinggi di Kuala Lumpur berbanding tempat lain. Sedangkan KL dari segi ekonomi – setara negara-negara maju di Asia yang lain.

Sayang sekali ada lagi suara-suara – malah dari pemimpin Melayu sendiri – yang mengatakan mereka mengalami nasib ini kerana mereka malas. Ada pula yang cuba menyalahkan warga asing ataupun masyarakat bukan Melayu yang lain.

Dalam keadaan hari ini sentimen ini lebih mudah dibakar kerana rakyat perit melalui suasana ekonomi yang lebih mencabar pada hari ini.

Pada masa sama ada pula sebahagian Melayu liberal dan golongan bukan Melayu yang prejudis menganggap sentimen ini adalah fitrah Melayu dan Islam kerana ramai pengundi Melayu memilih parti kaum dan agama, dan tidak boleh diubah.

Kesemua pandangan ini tersilap. Tengok kisah Pak Mat dan Pak Dollah. Adakah keluarga mereka miskin kerana mereka malas? Hakikatnya bekerja kuat, mengeluarkan keringat dalam keadaan yang saya tidak mampu bayangkan untuk mendapat sesuap nasi. Mereka bersungguh-sungguh mahukan anak mereka mendapat pendidikan agar kehidupan anak-anak mereka menjadi lebih baik daripada diri mereka.

Majoriti orang Melayu biasa di kawasan lama saya di Seri Setia mahupun di Setiawangsa tidak ada masalah dengan jiran-jiran Cina dan India mereka.

Yang menjadi musuh sebenar mereka adalah elit yang mengaut keuntungan besar. Gaji minima naik RM100, mereka riuh sekampung, selepas itu mengadu mengatakan rakyat Malaysia / Melayu tidak boleh diharap sebagai pekerja. Ada yang tidak segan-silu membayar rasuah membawa pekerja-pekerja asing masuk bekerja.

Ini termasuklah elit-elit Melayu yang berteriak hidup Melayu, menghunus keris nak pertahan hak Melayu tetapi menggunakan harta banyak untuk menghantar anak-anak ke sekolah antarabangsa sampaikan anak tidak boleh bercakap bahasa Melayu.

Tetapi apabila ada kelompok lain memukul rata dan menganggap semua orang Melayu ini jumud, kolot dan prejudis (ironisnya ini menunjukkan prejudis kelompok tersebut) ketika mereka sebenarnya mencari penyelesaian tekanan ekonomi mereka. Lebih-lebih lagi apabila ada usaha membakar sentimen kaum dan agama dalam suasana ekonomi hari ini, maka orang Melayu biasa akan bertanya siapa yang boleh mereka harapkan.

Itu antara kesilapan parti Demokrat di Amerika, dan parti Buruh di Britain sehingga mereka ditolak majoriti kulit putih dan Donald Trump menjadi Presiden di Amerika serta Britain memilih untuk keluar dari Kesatuan Eropah.

Tugas memahami masalah dan menyuarakan harapan mereka berada di atas bahu kita semua: Melayu dan bukan Melayu yang menjadi rakyat Malaysia. Dalam keadaan orang Melayu majoriti semakin besar di Malaysia, dan majoriti di kota sudah terdiri orang Melayu, sebarang perubahan di tanah air tidak akan berlaku tanpa menyelami jiwa miskin Melayu.

Share This