Soalan:

Nik Nazmi Nik Ahmad [Setiawangsa] minta Menteri Alam Sekitar dan Air menyatakan senarai kesemua insentif-insentif
yang diberikan Kerajaan kepada kereta elektrik dan hibrid untuk
mengurangkan emisi karbon.

Jawapan:

Tuan Yang di-Pertua,

1. Berdasarkan laporan International Energy Agency (IEA) pada 2018 berkenaan CO2 Emissions from Fuel Combustion, jumlah pelepasan karbon daripada pembakaran bahan api untuk semua sektor di Malaysia dilaporkan sebanyak 216.2 juta tan.

Sektor pengangkutan adalah penyumbang kedua terbesar iaitu 29% dengan perlepasan karbon sebanyak 62.8 juta tan, manakala sektor pengangkutan darat menyumbang sebanyak 60.9 juta tan iaitu sekitar 97% daripada jumlah pelepasan karbon dari sektor pengangkutan di Malaysia.

2. Susulan itu, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui
agensinya iaitu Malaysian Green Technology Corporation and Climate Change Centre (MGTC) telah membangunkan Low Carbon Mobility Blueprint and Action Plan (LCMB) serta menjalankan program-program demonstrasi untuk meningkatkan kesedaran awam berkaitan mobiliti rendah karbon terutamanya kenderaan elektrik. LCMB ini dibangunkan selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara dan Dasar Automotif
Nasional (NAP) 2020.

3. Pada masa ini, kerajaan menawarkan insentif secara customised
bagi aktiviti pemasangan atau pengilangan tempatan kenderaan cekap penggunaan tenaga (Energy Efficient Vehicle – EEV) termasuk jenis elektrik dan hibrid selaras dengan NAP 2020.

4. Bagi insentif cukai langsung:

a. Syarikat-syarikat yang melabur bagi menjalankan aktiviti
pemasangan atau pengilangan kenderaan-kenderaan hibrid dan
elektrik atau komponen bagi kenderaan tersebut layak untuk
dipertimbangkan insentif berikut:

i. Pengecualian Cukai Pendapatan melalui Galakan Taraf
Perintis dengan pengecualian cukai sebanyak 70% atau
100% ke atas pendapatan berkanun masing-masing bagi
tempoh lima atau sepuluh tahun; atau

ii. Pengecualian Cukai Pendapatan Bersamaan Elaun Cukai
Pelaburan sebanyak 60% atau 100% ke atas perbelanjaan
modal layak yang dilakukan masing-masing dalam tempoh
lima atau sepuluh tahun dari tarikh perbelanjaan modal
layak pertama.

Elaun ini boleh ditolak sehingga 100%
daripada pendapatan berkanun bagi setiap tahun taksiran.

b. Syarikat-syarikat yang melabur bagi menjalankan perkhidmatan
teknologi hijau (green services) yang melibatkan kenderaan
elektrik (electric vehicle – EV) seperti pemasangan,
penyelenggaraan, pembaikan peralatan pengecasan EV,
infrastruktur dan stesen pengecasan EV, operasi stesen
pengecasan dan Mainternance, Repair & Overhaul (MRO) EV
juga layak untuk dipertimbangkan insentif seperti berikut:

a) Pengecualian Cukai Pendapatan sebanyak 70% ke atas
pendapatan berkanun bagi tempoh tiga tahun bermula dari
tahun taksiran invois pertama yang berkaitan dengan
perkhidmatan teknologi hijau tersebut.

5. Bagi insentif cukai tidak langsung, pengecualian/pengurangan
duti import dan duti eksais ke atas EEV termasuk kenderaan elektrik dan hibrid layak dipertimbangkan mengikut tahap strategik pelaburan termasuk nilai pelaburan, jumlah pengeluaran, pemindahan teknologi, aktiviti nilai tambah tempatan dan program eksport.

6. Selain itu, kerajaan juga turut memperkenalkan Green Technology Financing Scheme (GTFS 2.0), iaitu pembiayaan dengan rebat faedah sebanyak 2% dan jaminan kerajaan sebanyak 60% ke atas projek hijau termasuk sektor pengangkutan. Jumlah peruntukkan bagi skim GTFS 2.0 yang ditawarkan adalah sebanyak RM 2 billion mulai 2019 hingga 2020.

7. Infrastruktur pengecas kenderaan elektrik dengan kos fi
penggunaan yang minimum kepada pengguna juga telah dibangunkan oleh MGTC.

Sekian, terima kasih

Share This